Tuesday, April 6, 2021

 

LAWIN : TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG

 

 

Kuaters Pejabat Hutan, Lawin, Gerik.

 Setelah setahun berkursus di FRIM, Kepong,Selangor, ayah saya ditempatkan di Balai Pemeriksaan Jabatan Hutan, Lawin, Gerik, Perak pada tahun 1973. Sekali lagi kami sekeluarga ditempatkan di “ rumah hijau” Jabatan Hutan. Menyebut sahaja nama Pekan Gerik pada sekitar tahun 1970an, ramai orang akan membayangkan kesukaran di zaman negara bergelut dengan pergerakan penganas komunis. Kalangan anggota tentera, nama Gerik yang suatu masa dahulu terdapat monumen gajah putih, sudah menjadi mainan di bibir mereka sahaja. Mungkin generasi sekarang kurang mengetahui atau tidak mengetahui langsung sejarah dan peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1940an hingga 1970an di Gerik. Saya masih ingat lagi sekitar tahun 70an yang begitu sibuk dengan aktiviti ketenteraan. Keadaan di jalan-jalan raya menuju ke Pekan Gerik pada masa itu di penuhi dengan konvoi angkatan tentera kita yang boleh dilihat saban hari berulang-alik dari Gerik ke  Kuala Kangsar atau sebaliknya. Pergerakan mereka bagaikan satu kemegahan pada saya yang ketika itu berumur sembilan tahun. Seragam celorong-celoreng mereka yang hijau, lengkap dengan senjata dan diiringi dengan kereta perisai “ Condor” memang mengujakan saya.  Kehadiran konvoi tentera tersebut memang saya nanti-nantikan. Jika saya berada dalam rumah, saya akan segera melompat keluar rumah dan berlari ke tepi jalan yang dilalui oleh konvoi tersebut sambil mengangkat tangan dengan meluruskan dua jari  sebagai simbol keamanan atau “peace”. Perkara yang menyeronokkan dan amat diharapkan oleh  saya ialah anggota tentera yang berada bersama-sama konvoi tersebut akan melontarkan bekalan makanan tentera atau “army ration” kepada kanak-kanak seperti saya. Kadang-kadang saya memperoleh sebungkus bekalan makan yang lengkap atau paling kurang saya akan dapat roti keras dan jem dibungkus dengan plastik jenih bercop gambar nenas berwarna hijau yang tertulis “ Angkatan Tentera Malaysia”. Memang puas hati.

            Barangkali anggota-angota tentera itu telah jemu memakan makanan tentera semasa menjalani operasi di hutan yang memakan masa yang agak lama dan mereka amat merindui makanan segar yang dimasak seperti masakan di rumah. Daripada makanan itu dibuang begitu sahaja, lebih baiklah makanan itu  disedekahkan kepada budak-budak yang melambai-lambaikan tangan di tepi jalan seperti saya. Untuk pengetahuan anggota-anggota tentera yang sering memberi saya bekalan makanan mereka, perbuatan anda tidak sia-sia. Terima kasih kepada perwiraku kerana mulai saat itulah saya amat berminat dengan dunia ketenteraan apatah lagi melihat dunia mereka di depan mata sendiri. Pada masa kini, suasana begini sudah sukar untuk dilihat lagi.

            Sebenarnya, pada umur sembilan tahun inilah saya mula dapat mengingati kesemua kisah-kisah saya semasa kecil. Pada usia sebelumnya, semua peristiwa yang saya alami  seakan-akan kabur dan sukar hendak ditulis atau diceritakan secara terperinci. Di Kampung Lawin, saya benar-benar menikmati zaman kanak-kanak sekolah rendah yang amat memberi kesan dalam hidup saya. Saya sering berharap agar keadaan di Kampung Lawin tidak berubah supaya saya boleh merasai kembali semua kenangan zaman kanak-kanak dan menceritakan kepada anak-anak saya.

Pekan Lawin terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Gerik. Pekan ini suatu masa dahulu merupakan sebuah pekan kecil yang menghubungkan antara bandar Gerik dan Lenggong. Kedudukannya hampir di tengah-tengah itu sesuai menempatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, Balai Polis, Masjid, Balai Pemeriksaan Jabatan Hutan dan Klinik Kesihatan. Oleh kerana itu, terdapat segelintir kakitangan kerajaan yang bertugas di situ disamping penduduk kampung yang menjalankan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan berkebun. Oleh kerana di situ terdapatnya Balai Pemeriksaan Jabatan Hutan maka terdapat juga orang kampung yang bekerja sebagai pembalak atau pembantu pemandu lori balak ( kelindan lori ).

Kami tinggal di kuaters penginapan Jabatan Hutan pada masa itu terdiri daripada 5 buah rumah keluarga dan subuah rumah bujang. Tiada kelengkapan eletrik pada masa itu. Di belakang rumah terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Lawin yang jernih airnya. Sungai ini  menjadi gelanggang yang mendewasakan aku. Di tepi sungai di belakang kuaters itu ada sepohon pokok buah kasai dan sepohon pokok macang. Sambil mandi sungai selepas pulang dari sekolah, buah kasai itulah yang menjadi habuan. Kalau waktu pagi musim buah macang, aku akan bangun pagi untuk datang awal memanjat pokok macang dan menggoncang pokok tersebut. Sungai Lawin inilah tempat saya membesar dan “bersungai”. Sungai ini merupakan sekolah kedua saya. Airnya sangat jernih dan mengalir deras dari empangan kecil yang sudahpun pecah. Di bahagian tepi sungai tersebut, terdapat sepohon pokok kasai yang besar dan berbuah lebat. Buahnya berwarna hitam atau unggu pekat sebesar ibu jari. Isinya seakan-akan buah rambutan tetapi nipis dan berbiji tebal. Rasanya memang manis jika dikunyah bersama-sama dengan air sungai.

 “Sekolah” inilah yang membentuk kemahiran-kemahiran kecil, sikap dan nilai saya terhadap alam sekitar. Biasanya pada hujung minggu atau cuti sekolah saya akan memanah ikan di sungai ini. Pada usia saya sepuluh tahun, saya sudah mempunyai alah alat memanah sendiri. Panah ini saya digelar  sebagai “ panah tarik”. Panah tarik ini terdiri daripada sebatang besi selinder sepanjang  setengah depa yang saiz ukur lilitnya kecil sedikit daripada ukur lilit batang pensel. Di satu bahagian hujungnya diikat dengan getah lastik dan getah bulat manakala di bahagian hujung yang satu lagi diasah sehingga tajam seperti mata panah. Kadang-kadang untuk menajamkannya, panah tersebut boleh diasah pada batu sungai yang tertentu atau diketuk dengan penukul hingga tajam dan leper atau “disagat” pada jalan tar semasa menunggang basikal. Alat pemanah ini sangat luwes kerana boleh digunakan hanya dengan sebelah tangan sahaja manakala sebelah tangan lagi memegang batu sewaktu menyelam bagi mengelakkan tubuh kita timbul di permukaan air sewaktu memanah ikan. Dengan berbekalkan cermin penyelam ( mask ) atau dipanggil “hablor” dan sebilah besi tajam yang diikat getah, saya memburu ikan-ikan yang terdapat di sungai itu. Ikan yang selalu ditewaskan ialah dari jenis sia ( ikan putih ), baung, tilan, terbol dan tengas ( yang ini susah sikit ). Jarang dapat ikan yang besar kerana saya masih kecil waktu itu. Saya tidak berani menyelam di kawasan air yang dalam atau lubuk. Balik dari sekolah selalunya di sungailah saya.

            Saya masih ingat lagi, ayah merotan saya kerana sering memanah ikan. Pada suatu hari, semasa di darjah enam, saya tidak ke sekolah kerana demam manakala ayah saya pergi meronda ke hutan. Disebabkan terlalu bosan, saya ke sungai jua akhirnya. Ayah memang tidak akan bertolak ansur dengan anak-anak jikalau anak-anak tidak mengutamakan pelajaran. Maka, pada hari itu saya dihadiahkan dengan rotan sehinggakan ibu saya mendoakan  saya agar mendapat tawaran  belajar di asrama bagi mengelakkan saya dimarahi ayah. Hal ini kerana belajar di kampung mendedahkan saya dengan lebih banyak peluang melakukan kenakalan dan lebih banyak jumlah rotan yang saya terima. Doa ibu termakbul juga akhirnya apabila saya ditawarkan untuk mengikuti pengajian di tingkatan satu di Sekolah Izuddin Shah, Ipoh pada tahun 1978.

Kalau musim hujan, keadaan menjadi lebih seronok dan mencabar. Di hilir sungai tersebut, terdapat serumpun pohon buluh kuning yang rendang dan kerendangan ini menyebabkan kawasan sekitarnya menjadi agak redup. Jika hujan lebat di hulu sungai, air akan naik secara tiba-tiba bersama dengan “kepala” air. Aktiviti “ berhanyut” di lakukan pada musim ini. Saya menuju ke hulu sungai sekitar 50 meter dari rumah dan menghilir mengikuti arus sungai. Alatan yang digunakan hanyalah sebuah pelampung tiub tayar lori balak atau dipanggil “ san tai wong” yang dicat nama seperti “KD Malaya”, “ KD Lekir” atau “ KD Laksamana “ dan sebagainya. Walaupun aktiviti ini agak bahaya tapi mencabar dan menyeronokkan. Sambil memegang pelampung tersebut, saya melompat ke dalam air sungai yang deras lalu dibawa arus sungau ke hilir. Cepat-cepat saya menangkap ranting pokok-pokok yang berhampiran tebing sungai untuk naik ke darat. Memang puas dan bangganya saya pada masa itu. Saya memang seronok tapi ibu saya akan terjerit-jerit dari rumah kerana melarang saya bermain di sungai sewaktu air besar atau “air bah”. Hobi inilah yang kekal sehingga usia saya menghampiri 60an iaitu mandi di sungai, berkayak dan berakit buluh. Ada beberapa peristiwa yang paling tidak dapat saya lupakan ialah saya menghilir sungai dengan mengepit dua ekor itik putih kepunyaan Mak Aji Lijah. Sebenar kedua-dua ekor itik itu saya kepitkan di kedua-dua celak ketiak saya untuk dijadikan pelampung. Saya ingin tahu samada itik itu boleh mengapungkan diri saya atau tidak ,sedangkan itik itu boleh terapung dengan sendirinya. Malang siitik putih kerana tubuh saya agak gempal sedikit maka hilanglah setengah nyawa itik itu saya kerjakan sebagai pelampung. Hampir lemas itik itu dibuatnya. Saya tidak pasti sama ada peristiwa ini dalam pengetahuan ayah saya. Adakalanya pada waktu dewasa ini, ketika saya berbual-bual dengan ibu saya tentang peristiwa itu, ibu saya akan  mengekek-ngekek ketawa mengenangkan kenakalan saya.

Sungai di Lawin   menyaksikan peristiwa saya dan seorang rakan saya iaitu Anuar Pak Wahab di serang oleh tebuan yang bersarang di pokok yang berhampiran dengan sungai. Budak-budak di kampung seperti kami memang mempunyai sebatang lastik sebagai alat permainan. Begitu juga dengan saya dan Anuar yang menggunakan lastik tersebut untuk pelbagai perkara seperti melastik buah-buahan dan anjing liar. Perkara yang menjadi keseronokan kepada kami pada masa itu adalah melastik sarang tebuan. Apabila batu yang digunakan untuk melastik itu terkena pada sarang terbuan, maka tebuan itu akan keluar daripada sarangnya seolah-olah bunga api yang meletup dan memancarkan cahaya. Setelah itu, tebuan-tebuan tersebut akan masuk semula ke sarangnya dan kami memulakannya sekali lagi.

            Tiba-tiba, entah dari mana datangnya, beberapa ekor tebuan menyerang Anuar dan saya. Kami lari sekuat-kuat hati dan terjun ke dalam sungai, menarik nafas dalam-dalam, menyelam  sambil memeluk batu sungai. Oleh kerana saya berbadan agak gempal, punggung saya timbul terlebih dahulu di permukaan air. Apalagi, dibahagian itulah tebuan-tebuan tersebut menjalankan tugasannya untuk membalas dendam. Pada hari itu, kami berdua menerima pembalasan atas perbuatan kami yang menyeronokkan itu. Disebabkan tebuan itu jugalah, saya terselamat daripada dirotan ayah.

Perangai saya yang sedikit nakal dan tidak suka duduk diam ini memberi ruang kepada saya menerokai persekitaran saya dengan mendalam lagi. Pada masa inilah, saya belajar membina pemikiran dan memanipulasikan mental dan fizikal yang ada pada diri saya untuk mengenal erti alam kanak-kanak. Ayah saya ketika itu sering keluar masuk ke hutan dalam tempoh yang panjang. Walaupun beliau bukan seorang anggota tentera tetapi pekerjaannya menuntut beliau bekerja sebegitu. Keadaan tugas ayah yang sebegitu sebenarnya memberi ruang kepada saya lebih bebas bermain dan merayau-rayau sekeliling kampung.

            Pada bulan puasa pula, terdapat permainan lain yang lebih menarik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Permainan ini dipanggil “ mengantor” dalam dialek Perak  yang bermaksud “menghantar”. Dalam permainan ini, terdapat dua kumpulan yang mengambil bahagian. Satu kumpulan akan bersembunyi dan satu lagi kumpulan akan mencari kumpulan yang bersembunyi dalam satu kawasan yang sudah ditetapkan. Kadang-kadang kawasannya meliputi satu kampung. Sebenarnya kedua-dua kumpulan tidak pernah berpakat untuk mengadakan permainan ini. Kumpulan yang bersembunyi akan menyediakan bahan-bahan mentah untuk memasak makanan seperti mi hon atau mee goreng termasuk rencahnya dalam sebuah bekas ( biasanya talam ). Bahan-bahan tersebut beserta dengan senarai nama akan  dihantar ke rumah orang yang mempunyai anak-anak remaja yang mempunyai ramai rakan atau tuan rumah yang boleh bekerja sama dan “ sporting”. Apabila sampai ke rumah tuan rumah yang menjadi sasaran itu, ketua kumpulan akan memukul pintu rumah tersebut dengan pelepah pisang sambil menjerit perkataan “ Ngantor! Ngantor!”. Selepas itu, kumpulan “mengantor” akan segera  lari meninggalkan hantaran tersebut di depan pintu rumah. Kadang kala cara penghantaran barangan ini boleh mengejutkan tuan rumah yang selesai sembahyang terawih atau sedang berehat-rehat. Itulah perkara yang menyeronokkan. 

            Tuan rumah yang menerima hantaran tersebut akan memasak makanan itu dan mengerahkan anak-anaknya serta rakan-rakan anaknya untuk mencari ahli-ahli pasukan penghantar berdasarkan senarai yang disediakan sementara makanan itu siap. Apabila tamat tempoh yang ditetapkan, kadang-kalanya hingga bersahur, barulah permainan ini tamat dan mereka akan makan beramai-ramai sambil berbincang samada mahu membalas hantaran atau tidak. Perkara yang menjadi keseronokannya apabila ahli pasukan “menganto” ini ditawan ( ditangkap ). Akibat ditawan, ahli pasukan menganto ini dilumur mukanya dengan arang atau tepung sebagai tanda dia sudah di ditangkap. Tempat menyorok pun hebat juga. Selain kawasan belukar dan rumah kosong, ada orang akan menyorok di kawasan kubur. Takut! Kalau saya, kawasan bawah jambatan kayu dekat surau lama itu menakutkan. Siang tidak menyeramkan tetapi malam, Allah sajalah yang memeliharanya. Dibawah jambatan itu ada orang kampung mencampakkan keranda “Che Long”. Che Long ini merupakan penduduk kampung yang bekerja mencari emas di hutan atau sungai sekitar Lawin. Nasib kurang baik telah menimpanya kerana kawasan tanah yang dikoreknya runtuh. Akibatnya dia tertimbus dengan keaada buluh yang menjadi ceracak penah dinding lanah yang dikoreknya mencucuk leharnya. Jenazah beliau dibawa ke surau tersebut dan pergi melihatnya manakala keranda pengusungnya dibuang di bawah jambatan. Jadi, tempat itu agak menyeramkan aku. Begitulah hebatnya permainan ini. Rasanya, permainan sebegini sudah tidak kedengaran lagi pada masa sekarang. Hubungan yang erat antara rakan sebaya dan disokong oleh ahli keluarga masing-masing boleh mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku di kampung. Masa yang terluang dapat diisi dengan aktiviti yang disertai oleh semua ahli masyarakat kampung tersebut.

Empangan Temenggor dalam pembinaan sekitar 1973
Pada tahun 1976, Empangan Temengor sudah pun siap dibina dan air Sungai Temenggor  pula akan bertakung dan menenggelami beberapa buah kampung sekitar Empangan Temenggor.
Seluruh penduduk kampung dalam Lembah Belum dan
Temenggor dipindahkan oleh kerajaan di sebuah perkampungan baru. Sebahagian daripada penduduk sekitar Temengor berpindah ke Kampung Air Ganda, Gerik. Terdapat sebahagian kecil penduduk yang berpindah ke Kampung Belum Baru di Kenering, Grik. Perpindahan dijalankan dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan helikopter dan kenderaan tentera.  Nenek saya berasal dari Temengor dan terlibat dalam proses pemindahan tersebut. Beliau dipindahkan ke  Kampung Air Ganda yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Kampung Lawin yang menghala ke utara. Jarak Kampung Air Ganda yang sebegini memboleh opah saya datang ke rumah kami sekerap yang mungkin. Saya memanggil nenek saya “ Opah “. Opah saya berasal dari Kampung Hulu Temenggor dan turut terlibat dalam perpindahan beramai-ramai ke Kampung Air Ganda. Sebelum Empangan
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Temenggor
Tahun 1975

Temenggor siap, opah tinggal bersama-sama kami di Lawin. Opah saya anggap lagenda dalam hidup saya. Saya suka mengikut Opah kalau ke sungai atau ke hutan kecil untuk mencari oucuk oaku, Saya sering mengikut opah mengutip pegaga di tepi jalan di Pecah Batu, Lawin. Kadang-kadang kami pergi mengutip cendawan batang pokok getah untuk dimasak gulai lemak cili api. Ayah pernah ada kebun kecil yang diteroka di tempat bernama Papulut ( kalau tak silap ) iaitu simpang masuknya lebih kurang  100 meter dari Pecah Batu ( kawasan kuari batu untuk membina jalan tar). Dekat dengan simpang tersebut terdapat satu banir pokok balak di tepi sungai yang mempunyai kesan berlubang-lubang. Dengar cerita nya itu adalah kesan tembakan masa Jepun memerintak Tanah Melayu. Di sana ayah dibantu oleh opah dan emak menanam jagung, labu, cabai, kacang panjang dan ada juga pokok betik. Aku suka ikut Opah ke sana. Bukan buat kerja sangat tetapi bermain naik kuda menggunakan dahan pokok tumbang yang terjuntai (dihenjut-henjutnya dahan yang terjuntai tersebut seperti lagak orang menunggang kuda ). Semasa saya berusia 12 tahun, saya pernah mengikut opah mencabut kacang tanah di kebun kacang kepunyaan seorang tauke cina. Upahnya tidaklah seberapa banyak tapi cukup untuk merasai nikmat wang sendiri.

            Satu tin minyak tanah kacang yang dikumpulkan, kita akan dibayar dengan bayaran sebanyak 50 sen. Saya hanya mampu untuk mencari empat tin sahaja untuk mendapat upah sebanyak RM 2.00. Apabila dapat wang upah tersebut, saya bergegas ke Kedai Kopi Mat Ribut di Kampung Lawin untuk membeli air berkabonat dicampur dengan ais. Pada masa itu, memang berbaloi kalau dapat membeli sebotol air berkarbonat berjenama “ Fanta” berwarna hijau yang terbaru di pasaran. Sampai sekarang terasa air “ Fanta” hijau itu mengalir di kerongkong lalu terus ke perut. Kadang-kadang saya menikmati laksa dengan ais kacang di kedai Pak Udin. Lagak saya sudah seperti orang dewasa apabila dapat makan di kedai seorang diri.

Pada waktu malam pula saya dan kakak akan menyiapkan kerja sekolah di bawah pelita “gasolin” berjenama “Butterfly”. Bekalan elekrtik memang masih tiada lagi pada masa itu. Pelita tersebut akan menemani kami belajar pada waktu malam walaupun terpaksa dipam sehinga beberapa kali. Apabila jam 10.00 malam, pelita pun dipadamkan atau terpadam sendiri disebabkan  kehabisan minyak tanah. Maka bergelaplah kami samada sudah tidur ataupun belum. Pada waktu saya berada dalam darjah enam, saya selalu mencuri-curi membaca buku cerita “ Siri Pengembaraan Tin Tin” dengan menggunakan lampu suluh ayah saya. Kalau bateri lampu suluh itu kehabisan tenaga, nahaslah saya. Hakikatnya, saya pun tidak mengetahui dan memahami  kepentingan belajar pada masa itu, tetapi saya suka membaca buku tersebut walaupun semasa membuang air besar. 

            Buku “ Siri Pengembaraan Tin Tin” tersebut banyak mempengaruhi hobi saya setelah dewasa iaitu mengembara. Bukunya ditulis dengan terjemahan Bahasa Melayu maka senanglah saya membacanya. Pada masa itu, terasa sangat cabarannya yang dilalui oleh Tin Tin dan “Snowi”. Memang benarlah kata ahli-ahli psikologi iaitu perkara yang berlaku dalam diri kita sewaktu kanak-kanak akan mempengaruhi cara hidup dan pemikiran kita apabila dewasa kelak. Mengembara dan meneroka alam semula jadi semacam menjadi darah daging saya. Buku itu saya pinjam daripada seorang sahabat baik saya iaitu Ahmad Zulmat bin Abdul Aziz dan bapanya dikenali dengan gelaran “Aziz Wayang” kerana beliau bertugas dengan Jabatan Penerangan di Gerik. Sesiapa yang tidak mengenali Aziz Wayang pada ketika itu, dia sudah dianggap bukan orang yang berasal dari Gerik. Hal ini adalah kerana Pakcik Aziz Wayang yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Penerangan ini  akan menayangkan wayang gambar  cerita tertentu ataupun kempen kerajaan dengan cara memainkan wayang “pacak” di merata-rata tempat.

            Pada waktu itu, wayang “pacak” merupakan media penting yang dinanti-nantikan sebagai salah satu bentuk hiburan selain daripada media pihak kerajaan untuk menyampaikan kempen-kempen mereka. Wayang pacak ini merupakan layar putih yang direntang dengan dua tiang yang dipacak di tengah padang. Gambar atau filem yang ditayangkan boleh dilihat dari arah depan atau arah belakang layar tersebut. Kalau hendakkan keselesaan, kita perlu membawa tikar ( tikar mengkuang ) atau alas tempat duduk dan membeli kacang kuda rebus sebagai peneman. Jangan lupa membawa kain pelikat sebagai pelindung tubuh kesejukan. Kadang-kadang kain tersebut dijadikan alas untuk duduk dan terus tertidur. Di kampung itu, seingat saya, terdapat sebuah rumah sahaja yang mempunyai televisyen hitam putih dengan menggunakan kuasa bateri kereta iaitu di Kampung Hulu Lawin. Rancangan televisyen yang menjadi kegemaran orang ramai ketika itu ialah “ Ba Ba Black Ship” dan “ Combat”. Kedua-dua kisah ini merupakan kisah perang sekitar Perang Dunia Kedua. Apalagi, kalau saya terpaksa memanjat tiang rumahpun, akan saya panjat juga demi keinginan untuk menonton cerita perang. Tahun 70an dahulu, jika kita hendak menonton rancangan televisyen yang ditayangkan, kita perlu membayar sebanyak lima sen sekepala. Tuan  rumah itu juga ada menjual kacang tanah goreng yang juga berharga lima sen. Murah juga pada masa itu tetapi tak mampu membelinya. Oleh itu, kita perlu membawa sepuluh sen untuk menonton televisyen jika tidak mahu “mengecek” kacang goreng orang lain.

Empangan Temenggor dibina oleh kerajaan untuk membekalkan tenaga elektrik. Maklumlah sekitar awal tahun 70an bekalan letrik pun tak begitu menyeluruh. Selain itu, tjuan utama pembinaan empangan ini untuk mengekang pergerakan dan kegiatan pengganas komunis yang bermaharajalela di Hulu Perak terutamanya di sempadan Thailand. Kerajaan terpaksa membina Jalan Raya Timur – Barat (JRTB) dari Gerik hingga ke Jeli dan sebuah empangan untuk membasmi kegiatan komunis.

Empangan Temenggor dalam pembinaan.

Bagi menempatkan pasukan tentera dan pekerja pembinaan JRBT dan Empangan Temenggor, dua kem pengkalan telah dibina yang diberi nama “Base Camp” yang terletak di Gerik dan Jeli, Kelantan. Pada masa ini, aktiviti ketenteraan sedang rancak berlaku untuk membenteras pengganas komunis. Setahun sebelum itu iaitu pada tahun 1975, ketika saya dalam darjah empat, berlaku satu serangan komunis di sebuah sungai di Temenggor. Empat orang anggota Konstabel Tambahan dari Ibu Pejabat Polis Gerik telah dibunuh dengan kejam. Badan mereka dikelar-kelar dengan pisau manakala mayat mereka diikat di bawah bot yang mereka naiki. Kejadian tersebut berlaku pada bulan Ogos 1975 dan merupakan bulan  saya dilahirkan. Ekoran daripada kejadian itu, sekumpulan anggota Komando 69 yang diketuai oleh Mohd Zabri bin Abdul Hamid atau dikenali dengan nama ASP Zabri telah dikerah memintas dan melenyapkan gerombolan pengganas komunis tersebut  pada 3 September 1975. Pertempuran tersebut mengakibatkan ASP Zabri terkorban sewaktu hendak menghantar anggota yang cedera ke “Landing Zone” helikopter. Sebagai mengenang jasa beliau, sebuah kem latihan Pasukan Komando 69 telah dibina di Tasik Banding dan diberi nama Kem Zabri. Beliau juga dianugerahi pangkat Assisten Superintenden Polis selepas pertempuran tersebut. Sebenarnya saya sendiri pernah cuba mengesan kem ini semasa saya mengadakan ekspedisi di Tasik Banding suatu ketika dahulu namun saya menemui kegagalan. Pertempuran tersebut menimbulkan  kekecohan kepada hampir semua penduduk di Gerik terutamanya ahli keluarga konstabel tambahan tersebut. Sebahagian daripada penduduk sekitar Temengor berpindah ke Kampung Air Ganda. Perpindahan dijalankan dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan helikopter dan kenderaan tentera.  

Kebebasan saya akan terbatas apabila ayah saya berada di rumah kerana ayah saya seorang yang garang terutama apabila menyentuh soal pelajaran. Saya masih ingat lagi tindakan beliau meletakkan jam yang dikuncinya dalam tempoh tertentu semata-mata untuk memastikan kami membaca buku atau mengulang kaji pelajaran. Biasanya kami belajar dalam tempoh lebih kurang dua jam iaitu mulai jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi pada hari cuti sekolah. Apabila loceng jam tersebut berdering, saya tersenyum lebar. Jika sebelum sampai jam 11.00 saya hilang dari rumah, alamat makan rotanlah saya hari itu. Biasanya saya lebih banyak menerima rotan daripada membaca buku.

Sepanjang saya tinggal di Lawin, saya bersekolah di Pekan Gerik. Masa itu Gerik menjadi sebuah bandar kecil yang terkenal di tanah air angkara komunis.

Ikon Pekan Gerik sekitar tahun 1970an

Gerik pernah diisytiharkan kawasan “hitam” sewaktu zaman darurat di negara kita. Ikon “Pekan Gerik” masa itu adalah gajah. Sehingga sekarang masih terdapat sekumpulan yang yang berkeliaran di Banjaran Titiwangsa ini. Gajah yang paling terkenal ialah “Aduka”, seekor gajah jantan yang selalu berkeliaran di kem-kem tentera sekitar tahun 70an. Terdapat monumen “ Gajah Putih” di tepi jalan dekat dengan balai polis. Sekarang tugu batu itu sudah tiada. Sesungguhnya “Pekan Gerik” kini sudah menjadi bandar yang menyimpan seribu satu sejarah dan memori pahit kekejaman pengganas komunis.  Terdapat banyak sekatan jalan raya oleh pasukan tentera yang mengawal sesuatu kawasan. Di Lawin, ada satu sekatan jalanraya atau “roadblock”. Orang lebih gemar memanggil “road block” berbanding sekatan jalan raya. Dikawasan sekatan itu  terdapat pos kawalan (pondok  dibuat daripada khemah tentera)  dan dindingnya dibuat daripada susunan guni berisi pasir. Di atas susunan guni pasir tersebut diletakkan selaras senjata GPMG atau MGKA ( Mesingun Kegunaan Am ). Setiap kenderaan yang melalui pos tersebut akan diperiksa isi perutnya.

Saya belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan ( Inggeris ) Gerik dari darjah tiga hingga darjah enam. Sekolah saya sekarang ini  telah digantikan dengan Bangunan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Perak. Jarak sekolah saya dari Kampung Lawin kira-kira 25 kilometer. Bukan tiada sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal saya tetapi ayah saya mahu saya mendapat peluang belajar yang baik di samping menguasai Bahasa Inggeris. Besar juga cita-cita ayah saya ketika itu. Sebenarnya terdapat sebuah sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung kami iaitu Sekolah Kebangsaan Kenering. Saya dan kakak saya belajar di SRJK (I) Gerik manakala adik saya, Alinda, belajar di Sekolah Kebangsaan Kenering. Seingat saya, belajar di sekolah rendah tidak begitu menyeronokkan diri saya. Saya hanya mengikut perkara yang telah diaturkan oleh keluarga tanpa memikirkan masa depan yang cerah dengan cara belajar. Walau bagaimana pun, banyak kisah yang dapat saya catatkan  semasa di alam sekolah rendah yang masih kekal dalam ingatan saya.   Untuk pergi ke sekolah, kami menaiki sebuah bas dari Kampung Belum baru yang dikenali Bas Sidek Belum. Rupa bas tersebut macam bas mini yang beroperasi di Kuala Lumpur. Enjin bas adakalanya dihidupkan dengan menggunakan “ engkol”. Saya masih ingat lagi warna biru bergaris putih pada badan bas tersebut. Pakcik Sidek baik orangnya. Beliau pandai menjimatkan minyak bas sekolahnya dengan membiarkan basnya menuruni bukit tanpa menghidupkan enjin. Biasanya perkara ini dilakukannya di Bukit Nasah di Kampung Kenayat ( berdekatan dengan MRSM Gerik sekarang ). Apabila sampai di puncak bukit tersebut, beliau mematikan enjin dan membiarkan bas tersebut bergerak menuruni bukit hingga ke Kampung Tawai. Apabila pergerakan bas sudah agak perlahan, beliau menghidupkan enjin semula. Kadangkala bas Pakcik Sidek Belum ini rosak di sekitar Kampung Kenayat, maka kami akan beramai-ramai berjalan kaki sampai ke rumah. Ada kalanya kami terpaksa balik dengan berjalan kaki kerana bas sekolah yang naiki rosak. Apabila dahaga kami minum air bukit sekitar Kampung Kenayat. Air ini dilairkan dengan menggunakan buluh ke tepi sungai untuk kegunaan ramai. Air bukit sekitar Kampung Kenayat masih ada sehingga  kini ( ey bukeik sape lo ni ado lagi...). Hanya ada dua bas yang mengambil dan menghantar pelajar sekolah pada masa itu. Salah satunya Bas Sidek Lawin yang membawa budak sekolah dari Kenering hingga ke Grik. Sebuah lagi Bas Israel yang  beroperasi dari dari utara ( Kampung Lalang ke Grik ). Bas Israel ini terkenal dengan asap ekzosnya yang berkepul-kepul.

            Saya dengan kakak saya, Mastura ( saya panggil Yong ) terpaksa bangun seawal jam lima pagi untuk bersiap dan menunggu bas. Ibu saya tidak memerlukan jam loceng untuk menggerakkan kami berdua kerana ada cara yang akan membantunya bangun seawal pagi. Kira-kira jam lima pagi sebuah lori balak yang pertama akan sampai ke kampung kami dengan ngauman enjinnya yang amat kuat.

Berlatarbelakangkan Masjid Lawin
semasa dalam pembinaan.

Penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan jalan raya boleh terjaga dari tidur akibat deruan enjin lori balak ini. Begitu juga dengan ibu saya yang akan membangunkan kami dari tidur apabila lori balak tersebut sampai. Kalau cepat sampainya lori balak itu, cepatlah kami bangun dan begitulah sebaliknya. Ibu aku memang sangat percaya  dengan enjin lori balak itu dan selalunya memang tidak pernah mengecewakan.

            Biasanya saya dan kakak saya akan mandi bergilir-gilir di bilik air di luar rumah atau di sungai. Selalunya kakak saya akan mandi terlebih dulu sementara itu saya pula menunggu di atas tangga luar rumah bertemankan pelita ayan. Pelita ayan ini sebenarnya sebuah pelita yang dibuat daripada kepingan besi atau “iron”. Perkataan “ayan” itu sebenarnya merupakan perkataan “iron” dalam bahasa Inggeris. Saya pun bukanlah berjaga sangat sebaliknya saya tertidur. Sepatutnya, apabila tiba giliran saya untuk mandi, kakak saya pula yang akan menemani saya. Tetapi perkara ini selalunya tidak terjadi. Kadang-kadang dia terus naik ke rumah tanpa menemani saya. Kadang-kadang pula lampu pelita ayan itu terpadam atau entah-entah dipadamnya. Hal ini menyebabkan saya menjerit ketakutan. Apalagi bisinglah sekejap. Ibu saya akan menggosok baju kami dengan menggunakan sterika arang. Menggunakan sterika arang ini perlukan kemahiran menjangka kepanasan seterika tersebut. Arang akan dibakar terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam seterika yang diperbuat daripada tembaga itu. Kalau tersilap jangkaan, sesi persekolahan hari itu akan dibatalkan kerana baju hangus. Emak pandai menyulam, maka disulamnya sehelai baju sejuk untuk saya. Baju itu dibuat daripada benang bulu kapas berwarna coklat. Tiba-tiba saja rindu menggamit jiwa.

            Selain itu, ibu saya juga akan memasak putu piring untuk saya jual di sekolah. Ibu memang rajin bangun pagi dan menyiapkan urusan awal kami ke sekolah. Rindu putu piring emak tetapi tiada siapa yang mewarisi kemahiran emak. Emak bukan calang-calang orang kerana beliau mendapat latihan dari RIDA. RIDA adalah singkatan  daripada  Rural Industrial Development Authority  atau Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan yang ditubuhkan oleh penjajah pada tahun 1953. Kemudiannya ditukar dengan nama MARA pada tahun 1966. Di sinilah emak belajar pengurusan rumah tangga,  Emak rajin bangun pagi. Sebab itulah ayah saya berpesan, kalau hendak mencari isteri, carilah isteri yang berkebolehan bangun pagi. Orang yang bangun awal atau sentiasa awal dalam kehidupan akan mendapat banyak faedah yang berlipat ganda.

            Kalau bangun pukul sepuluh pagi, sudah tentu isteri kamu pemalas,” kata ayah.

            Putu piring yang dibuat oleh ibu  biasanya dibeli oleh guru-guru saya di sekolah. Salah seorang guru yang suka membeli putu piring tersebut ialah isteri kepada Pegawai Daerah Gerik pada masa itu. Saya masih ingat lagi akan wajahnya. Ada kalanya beliau akan membeli kesemua putu piring tersebut daripada saya atau memesan terus putu piring tersebut daripada ibu saya. Guru besar sekolah tersebut pada masa itu ialah Mr. Letchumanan. Beliau seorang yang bertubuh besar, bermisai lebat dan berkaca mata.


Saya memang takut dengan beliau lebih-lebih lagi apabila beliau menggunakan Bahasa Inggeris untuk bercakap atau marah. Sebutir habuk pun saya tidak memahami percakapannya. Saya akan bersembunyi di belakang bangunan apabila bertembung dengan  beliau. Kalau saya nampak beliau di hujung bangunan, saya sudah mencanak lari ke hujung bangunan yang lain.

            Seperkara yang menjadi tabiat buruk saya semasa bersekolah ialah ketinggalan bas.  Saya selalunya leka bermain dengan rakan-rakan sebaya dan  merayau-rayau ke kawasan kampung berhampiran sekolah sehingga ketinggalan bas. Kadang-kadang kami mandi di Lubuk Kasai iaitu di sebatang sungai berhampiran dengan Bendang Kerajaan, Gerik. Di sinilah kami berkongsi kemahiran mandi sungai di Lubuk Kasai. Macam-macam jenis terjunan dilakukan dari atas tebing sungai itu. Mandi senang sahaja “bolen aje” atau telanjang saja kata orang Perak. Zaman kanak-kanaklah katakan. Adakalanya pula saya melepak di rumah Ahmad Zulmat, anak Pak Aziz Wayang. Saya dikira bernasib baik kerana bas sekolah saya akan datang semula untuk mengambil murid yang belajar pada sesi petang. Pada waktu itulah saya pulang ke rumah walaupun sebenarnya saya belajar di sesi pagi.

            Pernah juga saya bermalam di rumah kawan saya iaitu Rahim di Kampung Air Panas, Grik kerana ketinggalan bas sesi petang. Perkara inilah yang membimbangkan ibu saya. Pada zaman itu, jarang benar kedengaran kes budak hilang akibat diculik seperti yang berlaku sekarang. Beliau sebenarnya bimbang kalau-kalau  ayah saya tahu yang saya tidak pulang ke rumah. Akibatnya, sudah tentu semua orang maklum. Kanak-kanak yang bersikap bebas seperti saya sebenarnya berpunca dari proses sosialisasi yang saya alami. Menurut teori psikoanalisis , Sigmund Freud, saya boleh berdikari kerana sewaktu kecil lagi saya terpaksa bersaing mendapatkan susu ibu semasa belum genap usia dua tahun lagi. Hal ini kerana pada masa tersebut saya sudah mempunyai seorang adik iaitu Alinda. Sikap buruk saya ini sebenarnya membentuk nilai “survival” atau ikhtiar hidup yang tinggi dalam diri saya. Saya boleh berada dalam apa jua keadaan yang tidak sepatutnya saya hadapi.

            


Di sekolah saya aktif melukis dan menyertai Pasukan Pengakap. Pergerakan Pengakap amat sesuai dengan diri saya memandangkan kecenderungan saya yang gemar mengembara ke hutan dan merayau-rayau sekitar kampung. Saya pernah menyertai satu Perkhemahan Pengakap di Kampung Kenayat pada 10 hingga 12 Jun  1977. Saya banyak belajar semasa dalam perkhemahan ini. Kami belajar isytrat hutan, memasak, pertolongan cemas, kawad, mendirikan khemah dan yang paling penting disiplin mengurus diri. Dapatlah juga seorang budak nakal belajar sesuatu yang baik. Setelah tamat perkhemahan tersebut, saya seolah-olah diiktiraf sebagai kaki rayau  tegar kerana saya sudah mempunyai banyak idea untuk merayau-rayau sekeliling kampung atau memanah ikan di sungai.

            Sekolah saya berhampiran dengan Lapangan Terbang Gerik. Lapangan terbang tersebut digunakan oleh tentera dan bukannya pesawat komersial. Siapa yang menyangka bandar yang dulunya dipanggil pekan kecil mempunyai lapangan terbang? Lapangan terbang tersebut sebenarnya merupakan langkah strategik pasukan keselamatan  untuk memberi bantuan logisik dan sokongan kepada unit-unit infantri yang beroperasi di Hulu Perak lebih-lebih lagi di sempadan Malaysia - Thailand. Kegiatan ketenteraan dan komunis sangat aktif pada masa itu. Saya sering melihat helikopter “ Nuri” yang terbang rendah sewaktu menjalankan operasi membenteras pengganas komunis di sana. Sekali- sekala terasa seperti menonton cerita peperangan di Vietnam .


 

Thursday, April 1, 2021

LEPAS DI KARAI

Lembaga Pembangun Sastera ( LEPAS ) Perak.

Logo LEPAS

Pada 20 dan 21 Mac 2021 yang lalu telah berlangsung Bengkel Penulisan Buku Cerita Kanak-Kanak dan Mesyuarat Agung LEPAS Kali Ke- 69 yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangun Sastera ( LEPAS ) di D' Village. Karai, Kuala Kangsar, Perak. Ada banyak perkara boleh termuat ( dimuatkan ) dalam catatan ini. Tak ramai orang yang mengenali LEPAS secara khususnya. Yang paling di sebut, melepas atau terlepas. Kadang-kadang bila ditanya kepada orang ramai tentang apa itu LEPAS, " deme jawab, entah ler..melepas teman tau ler... he..he ( dengan nada gurau malu-malu )". Adalah menjadi  satu tanggungjawab kepada saya untuk menjelas apa itu LEPAS agar tidak disalahertikan.

Catatan ringkas  sejarah
LEPAS
    " Bio teman citer sikit.." LEPAS ialah akronim kepada Lembaga Pembangun Sastera. BUKAN Lembaga Pembangunan Sastera. Kena sebut elok-elok takut salah maksud. LEPAS merupakan organisasi atau persatuan pengiat sastera di negeri Perak. Mengikut catatan sejarahnya, LEPAS ditubuhkan pada tanggal 23 Mac 1951 ( huish...sebelum merdeka lagi ) di Central Malay School, Kuala Kangsar, Perak.  ( Entah mana tempat itu sekarang. Kalau ada kelapangan saya akan cuma dapatkan mak;umat.) Sewaktu penubuhan, LEPAS dihadiri seramai 33 orang yang terdiri penulis-penulis. guru-guru dan peniaga-peniaga dari seluruh negeri, termasuklah kaum wanita. Menurut catatan lagi, LEPAS ditubuhkan hasil daripada pemuafakatan pemikir pendidikan melayu dan agama. LEPAS menganbil masa lebuh kurang 2 tahun untuk mendapatkan kelulusan pendaftara di negeri Perak dan Penaung Pertama ialah YMM Raja Perempuan Ta'ayah Binti Raja Abdul Hamid.

    Antara yujuan penubuhan LEPAS adalah untuk:
  1. Mempertinggi dan merperluas bahasa dan kesusasteraan melayu.
  2. Mempelajari dan memperdalam aliran fikiran yang membawa ke arah kemajuan bangsa  dan agama dengan mengadakan perpustakaan, penerbitan, bengkel karya dan seminar.
  3. Memperlindungi dan mempertahankan hak serta kepentingan ahli.

    Maka  Mesuarat Agung Pertama LEPAS, Perak telah diadakan pada 5 Ogos 1951 d Central Malay School, Kuala Kangsar, Perak. Begitulah serba ringkas catatan sejarah penubuhan dan kewujudan LEPAS sehinggalah ke hari ini. Hal ini pun sebahagiab daripada catatan sejarah buat negeri Perak khasnya, di Malaysia amnya. Antara Ketua Satu yang pernah memimpin LEPAS sejak mula penubuhannya ialah:-

  1. Tuan Haji Khalid Abas
  2. Tuan Haji Abdullah Musa Bin Lubis
  3. Dato' Mohd Asri bin Muda
  4. Sdr. Alias Hassan
  5. Tuan Haji Syed Zakaria bin Syed Muhamad
  6. Tuan Haji Abdul Halim bin Mohd Awin
  7. Tuan Haji Azidin bin Mahmod
  8. Dato' Haji Khairuddin bin Arshad
  9. YM Dato Seri (Dr.) Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar
  10. Tuan Haji Abd. Rashid bin Ahmad Rafie

Jambatan Victoria, Karai masa dulu-dulu
    Perkara kedua yang menarik perhatian ialah “Pekan Karai” yang dahulunya dilupakan kini kembali bernyawa semula. Pekan Karai terletak berhampiran Sungai Perak yang mengalir ke Kuala Kangsar terus ke Teluk Intan dari Empangan Cenderoh  menghulu ke tasik Chenderoh seterusnya ke Hulu Perak. Telah diceritakan oleh orangtua terdahulu baha nama “ Karai” ini diambil sempena sebatang pokok “pokok karai” ( mana rupanya pokok karai ni...)  dan kewujudan makam seorang rakyat keturunan Aceh yang juga bernama “Karai”. Kalau kita rajin meneliti bagunan Pekan Karai yang belum diubah suai, kita akan berasa seolah-olah kita berada dalam zaman 50an dan 60an seperti dalam filem " Paloh" atau " Bukit Kepung". Sikit penya sentimental ke? Dulu ada polemik juga. Orang kata ( kalau tak silap ) " Balai Polis Karai tapi Pejabat Pos Enggor. Kalau tak percaya cuba dengan lagu tempatan berjudul  " Masa Kecilku Di Kampung Karai". Keistimewaan Pekan Karai ini adalah kerana wujudnya “ Victoria Bridge “ atau gelaran "gherotak karey" sebutan gaya "kuale", iaitu jambatan keretapi lama.
Papan kenyataan baru.

  Jambatan ini mula dibina pada tahun 1897 dan siap sepenuhnya pada tahun 1990. “ Victpria Bridge “ telah dirasmikan oleh Almarhum DYMM Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I  iaitu Sultan Perak yang Ke-28 dan disaksikan oleh Sir Frank Swettenham iaitu Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jurutera yang bertanggungjawab membina jambatan itu ialah G.W. Fryer, Divisional Engineer dan C.R. Hanson.

    
Jambatan Victoria

Jambatan ini menjadi penghubung utama bandar Diraja Kuala Kangsar  dengan bandar Sungai Siput dengan menggunakan laluan keretapi. Setelah Jambatan Victoria ini tidak lagi digunakan sejak 2002, jambatan ini dijadikan pusat pelancongan yang tumpuan pelancong untuk beriadah, bersantai dan bergambar. Nampaknya jumlah pelancong semakin meningkat saban hujung minggu. Jambatan ini memang cantik senibinanya dengan menggunakan kerangka besi dan gandingan batu-bata. “ Victoria Bridge “ menyimpan seribu satu peristiwa dan catatan sejarah terutama di era pra kemerdekaan, Perang Dunia II, pasca kemerdekaan dan kini. Tambahan pula, kini telah terbina sebuah hotel ( penginapan atau macam chalet ) berhadapan dengan Jambatan Victoria. Kemudahan penginapan ini lengkap dengan kolam mandi kanak-kanak, dewan mesyuarat, dewan. Nak promosi lebih-lebih pun tsak pandai ler teman. Sebelah malam jambatan tersebut dilimpahi cahaya lampu sorot dan neon. Di kawasan sekitar ada kemudahan berbasikal di tepi sungai sehingga ke Kampung Loh. Dengo kabo laluan berbasikal ini akan dibina sampai ke Kem Rekreasi Intan Suraya ( dekat Empangan Cenderoh ). Kalau nak mencabar lagi kayuh basikal atas jambatan tersebut sambil menikmati alam sekitar dari atas jambatan. Pergh... Bagi saya memang best. Kalau boleh pulak teruskan kayuhan ke Kampung Seberang Karai. Rehat kejap, lepas tu mandi sungai. Kalau jadi dan siaplah pembinaan laluan ini, maka ramailah penunggang basikal rekreasi akan berkumpul di sini. Kalau hari minggu memang penuh dengan orang. Kengkadang kita dapat melihat pasangan pengantin baru merakamkan gambar perkahwinan mereka sebagai kenangan. Memang cantik gambarnya. Nak pulak pakai baju 40an, memang nostalgik betul. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya.
Idzlan dan 'Victoria'
    Perkara ketiga, yang menarik dan selalu jadi tumpuan saya untuk mengenal ciri sosio budaya sesuatu tempat iaitu pasarnya. Pekan Karai dahulunya tempat mengumpul bijih timah dan getah untuk diangkut ke Pulau Pinang. Perak bukankah satu masa dahulu terkenal dengan perlombongan bijih timah dan perladangan getah. Kebiasaannya penduduk sekitar Kuala Kangsar dan Sungai Siput ( U ) akan berkunjung ke Pekan Karai pada hari Selasa kerana pada hari ini terdapat pasar sehari  atau terkenal dengan nama Pekan Selasa yang menarik. Pelbagai benda yang "rare" yang boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan. Kita boleh membeli spesies ikan sungai seperti patin, baung, tengalan, lampam, lawang ( kalau nasib baik temoleh pun ada ) di pasar ini selain hasil pertanian daripada kampung-kampung sekitar Pekan Karai. Selain itu, kita dapat membeli pelbagai aneka kuih-muih tradisional negeri perak di sini seperti “ dangai “, “putu piring perak”,” penjan “ dan sebagainya. Pada masa ini , kunjungan hari hari selasa ke Pasar Sehari ini amat menguji kesabaran kerana terlalu ramai pengunjung dan kenderaan yang memenuhi pekan ini. Perkara yang mesti anda cuba  ialah makanan dan minuman di sini. Di sinilah terdapatnya “kundah kara” atau kundas karai sejenis kuih seperti cucur dan dicicah dengan kuah kacang istimewa. Kuih ini sudah berganti generasi dan mengambil sempena nama pekan itu sendiri. Sekarang ini kuih “kundas karai” sudah popular seantero Malaya dan kalau datang lebih dari jam 10.00 pagi alamat tinggal “karai” sahaja kerana kundasnya telah habis dijual. Selain itu anda boleh menikmati cendol yang kurang hebatnya.

Bersama-sama Dr. Saleeh Rahamad
    Perkara seterusnya yang menjadi ingatan saya ialah kehadiran dua orang insan yang hebat dari sudut sastera dan penulisan. Mereka ialah Dr. Salleh Rahamad dan Saudara Roslan Madun. Dr. Salleh Rahamad atau nama sebenarnya  Dr. Mohamad Saleeh Bin Rahamad @ Ahamad merupakan senior saya semasa di tingkatan 6 Sekolah Raja Chulan, Ipoh. Kali terakhir berjumpa pada tahun 1993 semasa menuntut di SMK Raja Chulan. Selepas itu, berjumpa semula tahun ini ( 2021).  Beliau merupakan seorang pensyarah Jabatan Media dan Pengajian Komunikasi, Universiti Malaya. Saya banyak merujuk hasil tulisan beliau dalam membincangkan persoalan tentang tatabahasa Bahasa Melayu. Beliau sekarang merupakan orang kuat PENA atau Persatuan Penulis Nasional Malaysia yang ditubuhkan di Universiti Malaya pada 12 Februari 1961. Beliau adalah Presiden PENA . 
Bersama-sama Sdr. Roslan Madun
    Insan kedua ialah saudara Roslan Madun seorang aktivitis kesusasteraan terkenal di negara kita juga terkenal dengan gelaran “ Raja Syair Malaysia”. Pelantun syair “Seloka Pak Kaduk” kelahiran Kampung Durian Tawar, Mengkaran ,Pahang ini pernah saya jemput ke Pejabat Pendidikan Kuala Kangsar dalam sebuah program semasa saya menjawat jawatan Penolong PPD Bahasa di Pejabat Pendidikan daerah Kuala Kangsar. Hasil kupasan beliau tentang pantun dan syair amat memberi kefahaman tentang kehebatan sastera melayu. Kalau nak tahu hurai lanjut pantun " Buah langasat kuning mencelah. senduduk tidak berbunga lagi..." jemputlah beliau memberi ceraman atau hadir mendengar cera,am beliau. Baru kita tahu tinggi nilai khazanah sastera kita.