LAWIN
: TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG
Kuaters Pejabat Hutan, Lawin, Gerik.
Setelah setahun berkursus di FRIM, Kepong,Selangor, ayah saya
ditempatkan di Balai Pemeriksaan Jabatan Hutan, Lawin, Gerik, Perak pada tahun
1973. Sekali lagi kami sekeluarga ditempatkan di “ rumah hijau” Jabatan Hutan.
Menyebut sahaja nama Pekan Gerik pada sekitar tahun 1970an, ramai orang akan
membayangkan kesukaran di zaman negara bergelut dengan pergerakan penganas
komunis. Kalangan anggota tentera, nama Gerik yang suatu masa dahulu terdapat
monumen gajah putih, sudah menjadi mainan di bibir mereka sahaja. Mungkin
generasi sekarang kurang mengetahui atau tidak mengetahui langsung sejarah dan
peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1940an hingga 1970an di Gerik. Saya masih
ingat lagi sekitar tahun 70an yang begitu sibuk dengan aktiviti ketenteraan.
Keadaan di jalan-jalan raya menuju ke Pekan Gerik pada masa itu di penuhi
dengan konvoi angkatan tentera kita yang boleh dilihat saban hari berulang-alik
dari Gerik ke Kuala Kangsar atau
sebaliknya. Pergerakan mereka bagaikan satu kemegahan pada saya yang ketika itu
berumur sembilan tahun. Seragam celorong-celoreng mereka yang hijau, lengkap
dengan senjata dan diiringi dengan kereta perisai “ Condor” memang mengujakan saya.
Kehadiran konvoi tentera tersebut memang saya nanti-nantikan. Jika saya
berada dalam rumah, saya akan segera melompat keluar rumah dan berlari ke tepi
jalan yang dilalui oleh konvoi tersebut sambil mengangkat tangan dengan
meluruskan dua jari sebagai simbol
keamanan atau “peace”. Perkara yang
menyeronokkan dan amat diharapkan oleh
saya ialah anggota tentera yang berada bersama-sama konvoi tersebut akan
melontarkan bekalan makanan tentera atau “army
ration” kepada kanak-kanak seperti saya. Kadang-kadang saya memperoleh
sebungkus bekalan makan yang lengkap atau paling kurang saya akan dapat roti
keras dan jem dibungkus dengan plastik jenih bercop gambar nenas berwarna hijau
yang tertulis “ Angkatan Tentera Malaysia”. Memang puas hati.
Barangkali anggota-angota tentera
itu telah jemu memakan makanan tentera semasa menjalani operasi di hutan yang
memakan masa yang agak lama dan mereka amat merindui makanan segar yang dimasak
seperti masakan di rumah. Daripada makanan itu dibuang begitu sahaja, lebih
baiklah makanan itu disedekahkan kepada
budak-budak yang melambai-lambaikan tangan di tepi jalan seperti saya. Untuk
pengetahuan anggota-anggota tentera yang sering memberi saya bekalan makanan
mereka, perbuatan anda tidak sia-sia. Terima kasih kepada perwiraku kerana
mulai saat itulah saya amat berminat dengan dunia ketenteraan apatah lagi
melihat dunia mereka di depan mata sendiri. Pada masa kini, suasana begini
sudah sukar untuk dilihat lagi.
Sebenarnya, pada umur sembilan tahun
inilah saya mula dapat mengingati kesemua kisah-kisah saya semasa kecil. Pada
usia sebelumnya, semua peristiwa yang saya alami seakan-akan kabur dan sukar hendak ditulis
atau diceritakan secara terperinci. Di Kampung Lawin, saya benar-benar
menikmati zaman kanak-kanak sekolah rendah yang amat memberi kesan dalam hidup saya.
Saya sering berharap agar keadaan di Kampung Lawin tidak berubah supaya saya
boleh merasai kembali semua kenangan zaman kanak-kanak dan menceritakan kepada
anak-anak saya.
Pekan
Lawin terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Gerik. Pekan ini suatu masa
dahulu merupakan sebuah pekan kecil yang menghubungkan antara bandar Gerik dan
Lenggong. Kedudukannya hampir di tengah-tengah itu sesuai menempatkan beberapa
agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, Balai Polis, Masjid, Balai
Pemeriksaan Jabatan Hutan dan Klinik Kesihatan. Oleh kerana itu, terdapat segelintir
kakitangan kerajaan yang bertugas di situ disamping penduduk kampung yang
menjalankan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan berkebun. Oleh kerana
di situ terdapatnya Balai Pemeriksaan Jabatan Hutan maka terdapat juga orang
kampung yang bekerja sebagai pembalak atau pembantu pemandu lori balak (
kelindan lori ).
Kami
tinggal di kuaters penginapan Jabatan Hutan pada masa itu terdiri daripada 5
buah rumah keluarga dan subuah rumah bujang. Tiada kelengkapan eletrik pada
masa itu. Di belakang rumah terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Lawin yang
jernih airnya. Sungai ini menjadi
gelanggang yang mendewasakan aku. Di tepi sungai di belakang kuaters itu ada
sepohon pokok buah kasai dan sepohon pokok macang. Sambil mandi sungai selepas
pulang dari sekolah, buah kasai itulah yang menjadi habuan. Kalau waktu pagi
musim buah macang, aku akan bangun pagi untuk datang awal memanjat pokok macang
dan menggoncang pokok tersebut. Sungai Lawin inilah tempat saya membesar dan
“bersungai”. Sungai ini merupakan sekolah kedua saya. Airnya sangat jernih dan
mengalir deras dari empangan kecil yang sudahpun pecah. Di bahagian tepi sungai
tersebut, terdapat sepohon pokok kasai yang besar dan berbuah lebat. Buahnya
berwarna hitam atau unggu pekat sebesar ibu jari. Isinya seakan-akan buah
rambutan tetapi nipis dan berbiji tebal. Rasanya memang manis jika dikunyah
bersama-sama dengan air sungai.
“Sekolah” inilah yang membentuk
kemahiran-kemahiran kecil, sikap dan nilai saya terhadap alam sekitar. Biasanya
pada hujung minggu atau cuti sekolah saya akan memanah ikan di sungai ini. Pada
usia saya sepuluh tahun, saya sudah mempunyai alah alat memanah sendiri. Panah
ini saya digelar sebagai “ panah tarik”.
Panah tarik ini terdiri daripada sebatang besi selinder sepanjang setengah depa yang saiz ukur lilitnya kecil
sedikit daripada ukur lilit batang pensel. Di satu bahagian hujungnya diikat
dengan getah lastik dan getah bulat manakala di bahagian hujung yang satu lagi
diasah sehingga tajam seperti mata panah. Kadang-kadang untuk menajamkannya,
panah tersebut boleh diasah pada batu sungai yang tertentu atau diketuk dengan
penukul hingga tajam dan leper atau “disagat” pada jalan tar semasa menunggang
basikal. Alat pemanah ini sangat luwes kerana boleh digunakan hanya dengan
sebelah tangan sahaja manakala sebelah tangan lagi memegang batu sewaktu
menyelam bagi mengelakkan tubuh kita timbul di permukaan air sewaktu memanah
ikan. Dengan berbekalkan cermin penyelam ( mask
) atau dipanggil “hablor” dan sebilah
besi tajam yang diikat getah, saya memburu ikan-ikan yang terdapat di sungai
itu. Ikan yang selalu ditewaskan ialah dari jenis sia ( ikan putih ), baung,
tilan, terbol dan tengas ( yang ini susah sikit ). Jarang dapat ikan yang besar
kerana saya masih kecil waktu itu. Saya tidak berani menyelam di kawasan air
yang dalam atau lubuk. Balik dari sekolah selalunya di sungailah saya.
Saya masih ingat lagi, ayah merotan
saya kerana sering memanah ikan. Pada suatu hari, semasa di darjah enam, saya
tidak ke sekolah kerana demam manakala ayah saya pergi meronda ke hutan.
Disebabkan terlalu bosan, saya ke sungai jua akhirnya. Ayah memang tidak akan
bertolak ansur dengan anak-anak jikalau anak-anak tidak mengutamakan pelajaran.
Maka, pada hari itu saya dihadiahkan dengan rotan sehinggakan ibu saya
mendoakan saya agar mendapat
tawaran belajar di asrama bagi
mengelakkan saya dimarahi ayah. Hal ini kerana belajar di kampung mendedahkan
saya dengan lebih banyak peluang melakukan kenakalan dan lebih banyak jumlah
rotan yang saya terima. Doa ibu termakbul juga akhirnya apabila saya ditawarkan
untuk mengikuti pengajian di tingkatan satu di Sekolah Izuddin Shah, Ipoh pada
tahun 1978.
Kalau
musim hujan, keadaan menjadi lebih seronok dan mencabar. Di hilir sungai
tersebut, terdapat serumpun pohon buluh kuning yang rendang dan kerendangan ini
menyebabkan kawasan sekitarnya menjadi agak redup. Jika hujan lebat di hulu
sungai, air akan naik secara tiba-tiba bersama dengan “kepala” air. Aktiviti “ berhanyut” di lakukan pada musim ini. Saya
menuju ke hulu sungai sekitar 50 meter dari rumah dan menghilir mengikuti arus
sungai. Alatan yang digunakan hanyalah sebuah pelampung tiub tayar lori balak atau
dipanggil “ san tai wong” yang dicat
nama seperti “KD Malaya”, “ KD Lekir” atau “ KD Laksamana “ dan sebagainya.
Walaupun aktiviti ini agak bahaya tapi mencabar dan menyeronokkan. Sambil
memegang pelampung tersebut, saya melompat ke dalam air sungai yang deras lalu
dibawa arus sungau ke hilir. Cepat-cepat saya menangkap ranting pokok-pokok
yang berhampiran tebing sungai untuk naik ke darat. Memang puas dan bangganya
saya pada masa itu. Saya memang seronok tapi ibu saya akan terjerit-jerit dari
rumah kerana melarang saya bermain di sungai sewaktu air besar atau “air bah”. Hobi inilah yang kekal
sehingga usia saya menghampiri 60an iaitu mandi di sungai, berkayak dan berakit
buluh. Ada beberapa peristiwa yang paling tidak dapat saya lupakan ialah saya
menghilir sungai dengan mengepit dua ekor itik putih kepunyaan Mak Aji Lijah. Sebenar
kedua-dua ekor itik itu saya kepitkan di kedua-dua celak ketiak saya untuk
dijadikan pelampung. Saya ingin tahu samada itik itu boleh mengapungkan diri
saya atau tidak ,sedangkan itik itu boleh terapung dengan sendirinya. Malang
siitik putih kerana tubuh saya agak gempal sedikit maka hilanglah setengah
nyawa itik itu saya kerjakan sebagai pelampung. Hampir lemas itik itu
dibuatnya. Saya tidak pasti sama ada peristiwa ini dalam pengetahuan ayah saya.
Adakalanya pada waktu dewasa ini, ketika saya berbual-bual dengan ibu saya
tentang peristiwa itu, ibu saya akan
mengekek-ngekek ketawa mengenangkan kenakalan saya.
Sungai
di Lawin menyaksikan peristiwa saya dan seorang rakan
saya iaitu Anuar Pak Wahab di serang oleh tebuan yang bersarang di pokok yang
berhampiran dengan sungai. Budak-budak di kampung seperti kami memang mempunyai
sebatang lastik sebagai alat permainan. Begitu juga dengan saya dan Anuar yang
menggunakan lastik tersebut untuk pelbagai perkara seperti melastik buah-buahan
dan anjing liar. Perkara yang menjadi keseronokan kepada kami pada masa itu
adalah melastik sarang tebuan. Apabila batu yang digunakan untuk melastik itu
terkena pada sarang terbuan, maka tebuan itu akan keluar daripada sarangnya
seolah-olah bunga api yang meletup dan memancarkan cahaya. Setelah itu,
tebuan-tebuan tersebut akan masuk semula ke sarangnya dan kami memulakannya
sekali lagi.
Tiba-tiba, entah dari mana
datangnya, beberapa ekor tebuan menyerang Anuar dan saya. Kami lari sekuat-kuat
hati dan terjun ke dalam sungai, menarik nafas dalam-dalam, menyelam sambil memeluk batu sungai. Oleh kerana saya
berbadan agak gempal, punggung saya timbul terlebih dahulu di permukaan air.
Apalagi, dibahagian itulah tebuan-tebuan tersebut menjalankan tugasannya untuk
membalas dendam. Pada hari itu, kami berdua menerima pembalasan atas perbuatan
kami yang menyeronokkan itu. Disebabkan tebuan itu jugalah, saya terselamat
daripada dirotan ayah.
Perangai
saya yang sedikit nakal dan tidak suka duduk diam ini memberi ruang kepada saya
menerokai persekitaran saya dengan mendalam lagi. Pada masa inilah, saya
belajar membina pemikiran dan memanipulasikan mental dan fizikal yang ada pada
diri saya untuk mengenal erti alam kanak-kanak. Ayah saya ketika itu sering
keluar masuk ke hutan dalam tempoh yang panjang. Walaupun beliau bukan seorang
anggota tentera tetapi pekerjaannya menuntut beliau bekerja sebegitu. Keadaan
tugas ayah yang sebegitu sebenarnya memberi ruang kepada saya lebih bebas
bermain dan merayau-rayau sekeliling kampung.
Pada bulan puasa pula, terdapat
permainan lain yang lebih menarik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Permainan ini dipanggil “ mengantor”
dalam dialek Perak yang bermaksud
“menghantar”. Dalam permainan ini, terdapat dua kumpulan yang mengambil
bahagian. Satu kumpulan akan bersembunyi dan satu lagi kumpulan akan mencari
kumpulan yang bersembunyi dalam satu kawasan yang sudah ditetapkan.
Kadang-kadang kawasannya meliputi satu kampung. Sebenarnya kedua-dua kumpulan
tidak pernah berpakat untuk mengadakan permainan ini. Kumpulan yang bersembunyi
akan menyediakan bahan-bahan mentah untuk memasak makanan seperti mi hon atau
mee goreng termasuk rencahnya dalam sebuah bekas ( biasanya talam ).
Bahan-bahan tersebut beserta dengan senarai nama akan dihantar ke rumah orang yang mempunyai
anak-anak remaja yang mempunyai ramai rakan atau tuan rumah yang boleh bekerja
sama dan “ sporting”. Apabila sampai
ke rumah tuan rumah yang menjadi sasaran itu, ketua kumpulan akan memukul pintu
rumah tersebut dengan pelepah pisang sambil menjerit perkataan “ Ngantor! Ngantor!”. Selepas itu,
kumpulan “mengantor” akan segera lari
meninggalkan hantaran tersebut di depan pintu rumah. Kadang kala cara
penghantaran barangan ini boleh mengejutkan tuan rumah yang selesai sembahyang
terawih atau sedang berehat-rehat. Itulah perkara yang menyeronokkan.
Tuan rumah yang menerima hantaran
tersebut akan memasak makanan itu dan mengerahkan anak-anaknya serta
rakan-rakan anaknya untuk mencari ahli-ahli pasukan penghantar berdasarkan
senarai yang disediakan sementara makanan itu siap. Apabila tamat tempoh yang
ditetapkan, kadang-kalanya hingga bersahur, barulah permainan ini tamat dan
mereka akan makan beramai-ramai sambil berbincang samada mahu membalas hantaran
atau tidak. Perkara yang menjadi keseronokannya apabila ahli pasukan “menganto”
ini ditawan ( ditangkap ). Akibat ditawan, ahli pasukan menganto ini dilumur
mukanya dengan arang atau tepung sebagai tanda dia sudah di ditangkap. Tempat
menyorok pun hebat juga. Selain kawasan belukar dan rumah kosong, ada orang
akan menyorok di kawasan kubur. Takut! Kalau saya, kawasan bawah jambatan kayu
dekat surau lama itu menakutkan. Siang tidak menyeramkan tetapi malam, Allah
sajalah yang memeliharanya. Dibawah jambatan itu ada orang kampung mencampakkan
keranda “Che Long”. Che Long ini merupakan penduduk kampung yang bekerja
mencari emas di hutan atau sungai sekitar Lawin. Nasib kurang baik telah
menimpanya kerana kawasan tanah yang dikoreknya runtuh. Akibatnya dia tertimbus
dengan keaada buluh yang menjadi ceracak penah dinding lanah yang dikoreknya
mencucuk leharnya. Jenazah beliau dibawa ke surau tersebut dan pergi melihatnya
manakala keranda pengusungnya dibuang di bawah jambatan. Jadi, tempat itu agak
menyeramkan aku. Begitulah hebatnya permainan ini. Rasanya, permainan sebegini
sudah tidak kedengaran lagi pada masa sekarang. Hubungan yang erat antara rakan
sebaya dan disokong oleh ahli keluarga masing-masing boleh mengelakkan sesuatu
yang tidak diingini berlaku di kampung. Masa yang terluang dapat diisi dengan
aktiviti yang disertai oleh semua ahli masyarakat kampung tersebut.
Empangan Temenggor dalam pembinaan sekitar 1973 |
Seluruh penduduk kampung dalam Lembah Belum dan Temenggor dipindahkan oleh kerajaan di sebuah perkampungan baru. Sebahagian daripada penduduk sekitar Temengor berpindah ke Kampung Air Ganda, Gerik. Terdapat sebahagian kecil penduduk yang berpindah ke Kampung Belum Baru di Kenering, Grik. Perpindahan dijalankan dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan helikopter dan kenderaan tentera. Nenek saya berasal dari Temengor dan terlibat dalam proses pemindahan tersebut. Beliau dipindahkan ke Kampung Air Ganda yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Kampung Lawin yang menghala ke utara. Jarak Kampung Air Ganda yang sebegini memboleh opah saya datang ke rumah kami sekerap yang mungkin. Saya memanggil nenek saya “ Opah “. Opah saya berasal dari Kampung Hulu Temenggor dan turut terlibat dalam perpindahan beramai-ramai ke Kampung Air Ganda. Sebelum Empangan
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Temenggor Tahun 1975 |
Temenggor siap, opah tinggal bersama-sama kami di Lawin. Opah saya anggap lagenda dalam hidup saya. Saya suka mengikut Opah kalau ke sungai atau ke hutan kecil untuk mencari oucuk oaku, Saya sering mengikut opah mengutip pegaga di tepi jalan di Pecah Batu, Lawin. Kadang-kadang kami pergi mengutip cendawan batang pokok getah untuk dimasak gulai lemak cili api. Ayah pernah ada kebun kecil yang diteroka di tempat bernama Papulut ( kalau tak silap ) iaitu simpang masuknya lebih kurang 100 meter dari Pecah Batu ( kawasan kuari batu untuk membina jalan tar). Dekat dengan simpang tersebut terdapat satu banir pokok balak di tepi sungai yang mempunyai kesan berlubang-lubang. Dengar cerita nya itu adalah kesan tembakan masa Jepun memerintak Tanah Melayu. Di sana ayah dibantu oleh opah dan emak menanam jagung, labu, cabai, kacang panjang dan ada juga pokok betik. Aku suka ikut Opah ke sana. Bukan buat kerja sangat tetapi bermain naik kuda menggunakan dahan pokok tumbang yang terjuntai (dihenjut-henjutnya dahan yang terjuntai tersebut seperti lagak orang menunggang kuda ). Semasa saya berusia 12 tahun, saya pernah mengikut opah mencabut kacang tanah di kebun kacang kepunyaan seorang tauke cina. Upahnya tidaklah seberapa banyak tapi cukup untuk merasai nikmat wang sendiri.
Satu tin minyak tanah kacang yang
dikumpulkan, kita akan dibayar dengan bayaran sebanyak 50 sen. Saya hanya mampu
untuk mencari empat tin sahaja untuk mendapat upah sebanyak RM 2.00. Apabila
dapat wang upah tersebut, saya bergegas ke Kedai Kopi Mat Ribut di Kampung
Lawin untuk membeli air berkabonat dicampur dengan ais. Pada masa itu, memang
berbaloi kalau dapat membeli sebotol air berkarbonat berjenama “ Fanta” berwarna hijau yang terbaru di
pasaran. Sampai sekarang terasa air “ Fanta”
hijau itu mengalir di kerongkong lalu terus ke perut. Kadang-kadang saya
menikmati laksa dengan ais kacang di kedai Pak Udin. Lagak saya sudah seperti
orang dewasa apabila dapat makan di kedai seorang diri.
Pada
waktu malam pula saya dan kakak akan menyiapkan kerja sekolah di bawah pelita “gasolin” berjenama “Butterfly”. Bekalan elekrtik memang masih tiada lagi pada masa itu.
Pelita tersebut akan menemani kami belajar pada waktu malam walaupun terpaksa
dipam sehinga beberapa kali. Apabila jam 10.00 malam, pelita pun dipadamkan
atau terpadam sendiri disebabkan
kehabisan minyak tanah. Maka bergelaplah kami samada sudah tidur ataupun
belum. Pada waktu saya berada dalam darjah enam, saya selalu mencuri-curi
membaca buku cerita “ Siri Pengembaraan
Tin Tin” dengan menggunakan lampu suluh ayah saya. Kalau bateri lampu suluh
itu kehabisan tenaga, nahaslah saya. Hakikatnya, saya pun tidak mengetahui dan
memahami kepentingan belajar pada masa
itu, tetapi saya suka membaca buku tersebut walaupun semasa membuang air
besar.
Buku “ Siri Pengembaraan Tin Tin” tersebut banyak mempengaruhi hobi saya
setelah dewasa iaitu mengembara. Bukunya ditulis dengan terjemahan Bahasa
Melayu maka senanglah saya membacanya. Pada masa itu, terasa sangat cabarannya
yang dilalui oleh Tin Tin dan “Snowi”. Memang benarlah kata ahli-ahli psikologi
iaitu perkara yang berlaku dalam diri kita sewaktu kanak-kanak akan
mempengaruhi cara hidup dan pemikiran kita apabila dewasa kelak. Mengembara dan
meneroka alam semula jadi semacam menjadi darah daging saya. Buku itu saya
pinjam daripada seorang sahabat baik saya iaitu Ahmad Zulmat bin Abdul Aziz dan
bapanya dikenali dengan gelaran “Aziz Wayang” kerana beliau bertugas dengan
Jabatan Penerangan di Gerik. Sesiapa yang tidak mengenali Aziz Wayang pada
ketika itu, dia sudah dianggap bukan orang yang berasal dari Gerik. Hal ini
adalah kerana Pakcik Aziz Wayang yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Penerangan
ini akan menayangkan wayang gambar cerita tertentu ataupun kempen kerajaan
dengan cara memainkan wayang “pacak” di merata-rata tempat.
Pada waktu itu, wayang “pacak”
merupakan media penting yang dinanti-nantikan sebagai salah satu bentuk hiburan
selain daripada media pihak kerajaan untuk menyampaikan kempen-kempen mereka. Wayang
pacak ini merupakan layar putih yang direntang dengan dua tiang yang dipacak di
tengah padang. Gambar atau filem yang ditayangkan boleh dilihat dari arah depan
atau arah belakang layar tersebut. Kalau hendakkan keselesaan, kita perlu membawa
tikar ( tikar mengkuang ) atau alas tempat duduk dan membeli kacang kuda rebus
sebagai peneman. Jangan lupa membawa kain pelikat sebagai pelindung tubuh
kesejukan. Kadang-kadang kain tersebut dijadikan alas untuk duduk dan terus
tertidur. Di kampung itu, seingat saya, terdapat sebuah rumah sahaja yang
mempunyai televisyen hitam putih dengan menggunakan kuasa bateri kereta iaitu
di Kampung Hulu Lawin. Rancangan televisyen yang menjadi kegemaran orang ramai
ketika itu ialah “ Ba Ba Black Ship”
dan “ Combat”. Kedua-dua kisah ini
merupakan kisah perang sekitar Perang Dunia Kedua. Apalagi, kalau saya terpaksa
memanjat tiang rumahpun, akan saya panjat juga demi keinginan untuk menonton
cerita perang. Tahun 70an dahulu, jika kita hendak menonton rancangan televisyen
yang ditayangkan, kita perlu membayar sebanyak lima sen sekepala. Tuan rumah itu juga ada menjual kacang tanah
goreng yang juga berharga lima sen. Murah juga pada masa itu tetapi tak mampu
membelinya. Oleh itu, kita perlu membawa sepuluh sen untuk menonton televisyen
jika tidak mahu “mengecek” kacang goreng orang lain.
Empangan
Temenggor dibina oleh kerajaan untuk membekalkan tenaga elektrik. Maklumlah
sekitar awal tahun 70an bekalan letrik pun tak begitu menyeluruh. Selain itu, tjuan
utama pembinaan empangan ini untuk mengekang pergerakan dan kegiatan pengganas
komunis yang bermaharajalela di
Hulu Perak terutamanya di sempadan Thailand. Kerajaan terpaksa membina Jalan
Raya Timur – Barat (JRTB) dari Gerik hingga ke Jeli dan sebuah empangan untuk
membasmi kegiatan komunis. Empangan Temenggor dalam pembinaan.
Bagi menempatkan pasukan tentera dan pekerja
pembinaan JRBT dan Empangan Temenggor, dua kem pengkalan telah dibina yang
diberi nama “Base Camp” yang terletak
di Gerik dan Jeli, Kelantan. Pada masa ini, aktiviti ketenteraan sedang rancak
berlaku untuk membenteras pengganas komunis. Setahun sebelum itu iaitu pada
tahun 1975, ketika saya dalam darjah empat, berlaku satu serangan komunis di
sebuah sungai di Temenggor. Empat orang anggota Konstabel Tambahan dari Ibu
Pejabat Polis Gerik telah dibunuh dengan kejam. Badan mereka dikelar-kelar
dengan pisau manakala mayat mereka diikat di bawah bot yang mereka naiki.
Kejadian tersebut berlaku pada bulan Ogos 1975 dan merupakan bulan saya dilahirkan. Ekoran daripada kejadian
itu, sekumpulan anggota Komando 69 yang diketuai oleh Mohd Zabri bin Abdul
Hamid atau dikenali dengan nama ASP Zabri telah dikerah memintas dan
melenyapkan gerombolan pengganas komunis tersebut pada 3 September 1975. Pertempuran tersebut
mengakibatkan ASP Zabri terkorban sewaktu hendak menghantar anggota yang cedera
ke “Landing Zone” helikopter. Sebagai
mengenang jasa beliau, sebuah kem latihan Pasukan Komando 69 telah dibina di
Tasik Banding dan diberi nama Kem Zabri. Beliau juga dianugerahi pangkat
Assisten Superintenden Polis selepas pertempuran tersebut. Sebenarnya saya
sendiri pernah cuba mengesan kem ini semasa saya mengadakan ekspedisi di Tasik
Banding suatu ketika dahulu namun saya menemui kegagalan. Pertempuran tersebut
menimbulkan kekecohan kepada hampir
semua penduduk di Gerik terutamanya ahli keluarga konstabel tambahan tersebut. Sebahagian
daripada penduduk sekitar Temengor berpindah ke Kampung Air Ganda. Perpindahan
dijalankan dengan pelbagai cara iaitu dengan menggunakan helikopter dan
kenderaan tentera.
Kebebasan
saya akan terbatas apabila ayah saya berada di rumah kerana ayah saya seorang
yang garang terutama apabila menyentuh soal pelajaran. Saya masih ingat lagi
tindakan beliau meletakkan jam yang dikuncinya dalam tempoh tertentu
semata-mata untuk memastikan kami membaca buku atau mengulang kaji pelajaran.
Biasanya kami belajar dalam tempoh lebih kurang dua jam iaitu mulai jam 9.00
pagi hingga 11.00 pagi pada hari cuti sekolah. Apabila loceng jam tersebut
berdering, saya tersenyum lebar. Jika sebelum sampai jam 11.00 saya hilang dari
rumah, alamat makan rotanlah saya hari itu. Biasanya saya lebih banyak menerima
rotan daripada membaca buku.
Sepanjang
saya tinggal di Lawin, saya bersekolah di Pekan Gerik. Masa itu Gerik menjadi
sebuah bandar kecil yang terkenal di tanah air angkara komunis. Ikon Pekan Gerik sekitar tahun 1970an
Gerik pernah
diisytiharkan kawasan “hitam” sewaktu zaman darurat di negara kita. Ikon “Pekan
Gerik” masa itu adalah gajah. Sehingga sekarang masih terdapat sekumpulan yang
yang berkeliaran
di Banjaran Titiwangsa ini. Gajah yang paling terkenal ialah “Aduka”, seekor
gajah jantan yang selalu berkeliaran di kem-kem tentera sekitar tahun 70an.
Terdapat monumen “ Gajah Putih” di tepi jalan dekat dengan balai polis.
Sekarang tugu batu itu sudah tiada. Sesungguhnya “Pekan Gerik” kini sudah
menjadi bandar yang menyimpan seribu satu sejarah dan memori pahit kekejaman
pengganas komunis. Terdapat banyak
sekatan jalan raya oleh pasukan tentera yang mengawal sesuatu kawasan. Di Lawin,
ada satu sekatan jalanraya atau “roadblock”.
Orang lebih gemar memanggil “road block”
berbanding sekatan jalan raya. Dikawasan sekatan itu terdapat pos kawalan (pondok dibuat daripada khemah tentera) dan dindingnya dibuat daripada susunan guni berisi
pasir. Di atas susunan guni pasir tersebut diletakkan selaras senjata GPMG atau
MGKA ( Mesingun Kegunaan Am ). Setiap kenderaan yang melalui pos tersebut akan
diperiksa isi perutnya.
Saya
belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan ( Inggeris ) Gerik dari darjah tiga
hingga darjah enam. Sekolah saya sekarang ini
telah digantikan dengan Bangunan Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Perak.
Jarak sekolah saya dari Kampung Lawin kira-kira 25 kilometer. Bukan tiada
sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal saya tetapi ayah saya mahu saya
mendapat peluang belajar yang baik di samping menguasai Bahasa Inggeris. Besar
juga cita-cita ayah saya ketika itu. Sebenarnya terdapat sebuah sekolah yang
terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung kami iaitu Sekolah Kebangsaan
Kenering. Saya dan kakak saya belajar di SRJK (I) Gerik manakala adik saya,
Alinda, belajar di Sekolah Kebangsaan Kenering. Seingat saya, belajar di
sekolah rendah tidak begitu menyeronokkan diri saya. Saya hanya mengikut
perkara yang telah diaturkan oleh keluarga tanpa memikirkan masa depan yang
cerah dengan cara belajar. Walau bagaimana pun, banyak kisah yang dapat saya
catatkan semasa di alam sekolah rendah
yang masih kekal dalam ingatan saya. Untuk
pergi ke sekolah, kami menaiki sebuah bas dari Kampung Belum baru yang dikenali
Bas Sidek Belum. Rupa bas tersebut macam bas mini yang beroperasi di Kuala
Lumpur. Enjin bas adakalanya dihidupkan dengan menggunakan “ engkol”. Saya masih ingat lagi warna
biru bergaris putih pada badan bas tersebut. Pakcik Sidek baik orangnya. Beliau
pandai menjimatkan minyak bas sekolahnya dengan membiarkan basnya menuruni
bukit tanpa menghidupkan enjin. Biasanya perkara ini dilakukannya di Bukit
Nasah di Kampung Kenayat ( berdekatan dengan MRSM Gerik sekarang ). Apabila
sampai di puncak bukit tersebut, beliau mematikan enjin dan membiarkan bas tersebut
bergerak menuruni bukit hingga ke Kampung Tawai. Apabila pergerakan bas sudah
agak perlahan, beliau menghidupkan enjin semula. Kadangkala bas Pakcik Sidek
Belum ini rosak di sekitar Kampung Kenayat, maka kami akan beramai-ramai berjalan
kaki sampai ke rumah. Ada kalanya kami terpaksa balik dengan berjalan kaki
kerana bas sekolah yang naiki rosak. Apabila dahaga kami minum air bukit
sekitar Kampung Kenayat. Air ini dilairkan dengan menggunakan buluh ke tepi
sungai untuk kegunaan ramai. Air bukit sekitar Kampung Kenayat masih ada
sehingga kini ( ey bukeik sape lo ni ado lagi...). Hanya ada dua bas yang mengambil
dan menghantar pelajar sekolah pada masa itu. Salah satunya Bas Sidek Lawin
yang membawa budak sekolah dari Kenering hingga ke Grik. Sebuah lagi Bas Israel
yang beroperasi dari dari utara (
Kampung Lalang ke Grik ). Bas Israel ini terkenal dengan asap ekzosnya yang
berkepul-kepul.
Saya dengan kakak saya, Mastura (
saya panggil Yong ) terpaksa bangun seawal jam lima pagi untuk bersiap dan
menunggu bas. Ibu saya tidak memerlukan jam loceng untuk menggerakkan kami
berdua kerana ada cara yang akan membantunya bangun seawal pagi. Kira-kira jam
lima pagi sebuah lori balak yang pertama akan sampai ke kampung kami dengan
ngauman enjinnya yang amat kuat. Berlatarbelakangkan Masjid Lawin
semasa dalam pembinaan.
Penduduk kampung yang tinggal berhampiran
dengan jalan raya boleh terjaga dari tidur akibat deruan enjin lori balak ini.
Begitu juga dengan ibu saya yang akan membangunkan kami dari tidur apabila lori
balak tersebut sampai. Kalau cepat sampainya lori balak itu, cepatlah kami
bangun dan begitulah sebaliknya. Ibu aku memang sangat percaya dengan enjin lori balak itu dan selalunya
memang tidak pernah mengecewakan.
Biasanya saya dan kakak saya akan
mandi bergilir-gilir di bilik air di luar rumah atau di sungai. Selalunya kakak
saya akan mandi terlebih dulu sementara itu saya pula menunggu di atas tangga
luar rumah bertemankan pelita ayan. Pelita ayan ini sebenarnya sebuah pelita
yang dibuat daripada kepingan besi atau “iron”.
Perkataan “ayan” itu sebenarnya merupakan perkataan “iron” dalam bahasa Inggeris. Saya pun bukanlah berjaga sangat
sebaliknya saya tertidur. Sepatutnya, apabila tiba giliran saya untuk mandi,
kakak saya pula yang akan menemani saya. Tetapi perkara ini selalunya tidak terjadi.
Kadang-kadang dia terus naik ke rumah tanpa menemani saya. Kadang-kadang pula
lampu pelita ayan itu terpadam atau entah-entah dipadamnya. Hal ini menyebabkan
saya menjerit ketakutan. Apalagi bisinglah sekejap. Ibu saya akan menggosok
baju kami dengan menggunakan sterika arang. Menggunakan sterika arang ini
perlukan kemahiran menjangka kepanasan seterika tersebut. Arang akan dibakar
terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam seterika yang diperbuat daripada
tembaga itu. Kalau tersilap jangkaan, sesi persekolahan hari itu akan
dibatalkan kerana baju hangus. Emak pandai menyulam, maka disulamnya sehelai
baju sejuk untuk saya. Baju itu dibuat daripada benang bulu kapas berwarna
coklat. Tiba-tiba saja rindu menggamit jiwa.
Selain itu, ibu saya juga akan
memasak putu piring untuk saya jual di sekolah. Ibu memang rajin bangun pagi
dan menyiapkan urusan awal kami ke sekolah. Rindu putu piring emak tetapi tiada
siapa yang mewarisi kemahiran emak. Emak bukan calang-calang orang kerana
beliau mendapat latihan dari RIDA. RIDA adalah singkatan daripada
Rural Industrial Development
Authority atau Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan yang ditubuhkan oleh penjajah
pada tahun 1953. Kemudiannya ditukar dengan nama MARA pada tahun 1966. Di
sinilah emak belajar pengurusan rumah tangga, Emak rajin bangun pagi. Sebab
itulah ayah saya berpesan, kalau hendak mencari isteri, carilah isteri yang
berkebolehan bangun pagi. Orang yang bangun awal atau sentiasa awal dalam
kehidupan akan mendapat banyak faedah yang berlipat ganda.
“ Kalau bangun pukul sepuluh pagi, sudah tentu isteri kamu pemalas,”
kata ayah.
Putu piring yang dibuat oleh ibu biasanya dibeli oleh guru-guru saya di sekolah. Salah seorang guru yang suka membeli putu piring tersebut ialah isteri kepada Pegawai Daerah Gerik pada masa itu. Saya masih ingat lagi akan wajahnya. Ada kalanya beliau akan membeli kesemua putu piring tersebut daripada saya atau memesan terus putu piring tersebut daripada ibu saya. Guru besar sekolah tersebut pada masa itu ialah Mr. Letchumanan. Beliau seorang yang bertubuh besar, bermisai lebat dan berkaca mata.
Saya memang takut dengan beliau lebih-lebih lagi apabila beliau menggunakan Bahasa Inggeris untuk bercakap atau marah. Sebutir habuk pun saya tidak memahami percakapannya. Saya akan bersembunyi di belakang bangunan apabila bertembung dengan beliau. Kalau saya nampak beliau di hujung bangunan, saya sudah mencanak lari ke hujung bangunan yang lain.
Seperkara yang menjadi tabiat buruk
saya semasa bersekolah ialah ketinggalan bas.
Saya selalunya leka bermain dengan rakan-rakan sebaya dan merayau-rayau ke kawasan kampung berhampiran
sekolah sehingga ketinggalan bas. Kadang-kadang kami mandi di Lubuk Kasai iaitu
di sebatang sungai berhampiran dengan Bendang Kerajaan, Gerik. Di sinilah kami
berkongsi kemahiran mandi sungai di Lubuk Kasai. Macam-macam jenis terjunan
dilakukan dari atas tebing sungai itu. Mandi senang sahaja “bolen aje” atau telanjang saja kata
orang Perak. Zaman kanak-kanaklah katakan. Adakalanya pula saya melepak di
rumah Ahmad Zulmat, anak Pak Aziz Wayang. Saya dikira bernasib baik kerana bas
sekolah saya akan datang semula untuk mengambil murid yang belajar pada sesi
petang. Pada waktu itulah saya pulang ke rumah walaupun sebenarnya saya belajar
di sesi pagi.
Pernah juga saya bermalam di rumah
kawan saya iaitu Rahim di Kampung Air Panas, Grik kerana ketinggalan bas sesi
petang. Perkara inilah yang membimbangkan ibu saya. Pada zaman itu, jarang benar
kedengaran kes budak hilang akibat diculik seperti yang berlaku sekarang.
Beliau sebenarnya bimbang kalau-kalau
ayah saya tahu yang saya tidak pulang ke rumah. Akibatnya, sudah tentu
semua orang maklum. Kanak-kanak yang bersikap bebas seperti saya sebenarnya
berpunca dari proses sosialisasi yang saya alami. Menurut teori psikoanalisis ,
Sigmund Freud, saya boleh berdikari kerana sewaktu kecil lagi saya terpaksa
bersaing mendapatkan susu ibu semasa belum genap usia dua tahun lagi. Hal ini
kerana pada masa tersebut saya sudah mempunyai seorang adik iaitu Alinda. Sikap
buruk saya ini sebenarnya membentuk nilai “survival”
atau ikhtiar hidup yang tinggi dalam diri saya. Saya boleh berada dalam apa jua
keadaan yang tidak sepatutnya saya hadapi.
Di sekolah saya aktif melukis dan menyertai Pasukan Pengakap. Pergerakan Pengakap amat sesuai dengan diri saya memandangkan kecenderungan saya yang gemar mengembara ke hutan dan merayau-rayau sekitar kampung. Saya pernah menyertai satu Perkhemahan Pengakap di Kampung Kenayat pada 10 hingga 12 Jun 1977. Saya banyak belajar semasa dalam perkhemahan ini. Kami belajar isytrat hutan, memasak, pertolongan cemas, kawad, mendirikan khemah dan yang paling penting disiplin mengurus diri. Dapatlah juga seorang budak nakal belajar sesuatu yang baik. Setelah tamat perkhemahan tersebut, saya seolah-olah diiktiraf sebagai kaki rayau tegar kerana saya sudah mempunyai banyak idea untuk merayau-rayau sekeliling kampung atau memanah ikan di sungai.
Sekolah saya berhampiran dengan
Lapangan Terbang Gerik. Lapangan terbang tersebut digunakan oleh tentera dan
bukannya pesawat komersial. Siapa yang menyangka bandar yang dulunya dipanggil
pekan kecil mempunyai lapangan terbang? Lapangan terbang tersebut sebenarnya
merupakan langkah strategik pasukan keselamatan
untuk memberi bantuan logisik dan sokongan kepada unit-unit infantri
yang beroperasi di Hulu Perak lebih-lebih lagi di sempadan Malaysia - Thailand.
Kegiatan ketenteraan dan komunis sangat aktif pada masa itu. Saya sering
melihat helikopter “ Nuri” yang terbang rendah sewaktu menjalankan operasi
membenteras pengganas komunis di sana. Sekali- sekala terasa seperti menonton
cerita peperangan di Vietnam .