Saturday, April 18, 2020

TEATER " TEMENGGOR"

          TEATER TEMENGGOR 
Poster " TEMENGGOR "

Merdeka 2019
Ya... Agak dah lama... makan tahun juga. Kesibukan sering menjadi mangsa untuk sebarang alasan kerana tidak mencatat sesuatu dari sisi ini. Kali ini ingin dikisahkan tentang sebahagian aktiviti yang menjadi mainan. Teater... Biasa je... Bagi mereka yang berada dalam kelompoknya, ia bukan sesuatu yang luar biasa. Aku tak kisah kerana laman ini digunakan untuk menyimpan sesuatu catatan yang mungkin boleh dijadikan rujukan. Aku mula mengajar kelas Kurikulum Teater MPU 2441 di Universiti Sultan Azlan Shah mulai 2015. Pada Tahun ini, 2017, aku mengendalikan kelas ini sendirian setelah sahabat aku, Azman mengajar kelas gamelan di tempat yang sama. 

Pelajar Teater USAS
Apa yang menariknya ialah masalah mencari skrip yang sesuai membawa aku kepada penghasilan skrip yang berjudul " Temengor ". Sebahagian kisah " Temenggor " ini sudah pupus ditelan zaman. Mungkin 10 tahun akan datang, generasi Temenggor ini akan hilang akar umbinya. Perkataan "Temenggor " ini merupakan memori buatku. Walaupun saya tak berkesempatan untuk berada di sana tetapi dia berada di hatiku.
" AKU" dan pelajar
           Pada mula menerima pelajar-pelajar sesi 1/2017, aku berasa sangsi untuk menghasilkan pementasan projek akhir mereka. Kebanyakannya pelajar perempuan, Lelaki 5 orang saja. Yang perempuan pula, ada dua pelajar yang nampak mata saja. Aku memanggil mereka "Ninja" sebagai nama mesra. Tak dapat nak ingat nama semua... Rupa pun tak nampak. Yang lain, ok sahaja. Kebanyakannya mempunyai latar belakang pendidikan agama yang baik. Aku bimbang dengan kebolehan mereka. Boleh ke mereka berteater pada projek akhir nanti. Sekali imbas memang tidak menyakinkan aku. Aku perlu bekerja keras untuk melatih mereka ini.
Antara pelakon " TEMENGGOR "
          Setelah enam minggu melatih mereka, tidak banyak perkembangan yang berlaku. Kehadiran keseluruhan sekitar 70% hingga 80% sahaja. Yang lelaki agak teruk sedikit. Tahap projeksi vokal masih lemah, aksi kurang memuaskan. Mereka masih malu dan masih macam "freshie" lagi. Lebih banyak senyap daripada berkomunikasi. Bertanya jauh sekali. So macam mana? Aku tak boleh mengajar menggunakan kaedah biasa. Mungkin perbezaan umur menyebabkan mereka malu untuk lepas laku semasa praktikal seni lakon. Masa ini juga aku sendiri ada masalah untuk memilih skrip yang sesuai untuk mereka. Kebanyakkannya perempuan... Lelaki yang 5 ini macam chipsmore...                   
         
Tentang skrip pula, tak banyak skrip yang boleh diperoleh secara percuma untuk tujuan pembelajaran. Kita boleh dapat banyak di internet tetapi kesesuaiannya boleh difikir semua. Apa yang aku peroleh ( pandangan peribadi sahaja ) penulis dari Indonesia lebih mudah berkongsi maklumat atau skrip dengan khalayak umum. Mudah memproleh skrip kisah negara seberang di internet secara gratis. Malaysia pun ada tetapi sekar memperoleh yang gratis. Tak kisah apa puncanya, penulis dan pengguna skrip mempunyai alasan tersendiri bagaimana memanipulasikan skrip. 
           Kesukaran ini bagus sebenarnya. Oleh kerana aku sukar memperoleh skrip yang sesuai, lebih baik aku hasilkan skrip sendiri. Banyak kelebihannya. Boleh pilih tema dan cerita sendiri, senang aturkan pelakon, bebas untuk membuat olehan dan penambahbaikkan serta mudah disesuaikan dengan kekuatan pelakon yang ada. Aku bukan nak bawa skrip ini untuk pertandingan, tetapi untuk pembelajaran sahaja. Pening punya pening maka terhasillah skrip " TEMENGGOR ".
Perjanjian Menyerah Kalah Pihak Jepun
kepada di atas kapal tempur USS Missuori
              Apa kisahnya tentang Temenggor ini? Sebahagian khalayak masa kini sudah lupa akan kisah-kisah sekitar tahun 40an di Tanah Melayu. Banyak kisah-kisah tahun tersebut tidak tercatat sebagai media bacaan masa kini. Teater TEMENGGOR mencerita kisah sekitar tahun 1945. Waktu itu, negara kita selesai menghadapi Perang Dunia Ke-2 selepas Jepun menyerah kalah dek pengeboman ke atas dua bandar utama di Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki oleh pihak Tentera Berikat. Pengeboman itu berlaku pada 6 dan 9 Ogos 1945. Upacara Penyerahan Kalah diadakan pada 2 September 1945 di atas kapal tempur Amerika Syarikat USS Missuori
Bendera Bintang 3
              Setelah Jepun menyerah kalah, tiada sesiapa pun yang memerintah Tanah Melayu ketika itu kecuali sultan-sultan yang memerintah negeri masing-masing. Tempoh kekosongan ini diambil kesempatan oleh komunis atau Parti Komunis Malaya untuk berkuasa.  PKM melalui cawangan tenteranya yang dikenali sebagai Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) telah mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu selama 14 hari. Sebenarnya pihak komunis  merupakan antara pasukan bersenjata yang memperoleh senjata daripada pihak British bagi tujuan untuk menentang pihak Jepun. 
Komunis Bintang 3
        Apabila Jepun kalah dan pihak Inggeris pula terkial-kial tak tahu nak buat apa-apa,  maka komunis naik tocanglah. Mereka bermaharajalela seolah-olah mereka menang dalam Perang Dunia Ke-2. MPAJA telah menggunakan lambang tiga bintang dan dikenali sebagai tentera Bintang Tiga. Mereka menjalankan undang-undang sendiri dengan menjatuhkan hukuman kepada orang yang bekerjasama dengan Jepun tidak kira Melayu, Cina atau India. Seluruh negara pada masa itu mendapat bahana selama 14 hari angkara bintang tiga. Antara kesimpulan yang aku buat, ialah terjadinya tragedi 3B di negeri Perak ini. Teman orang Perak. Apa 3B itu? 3B itu mewakili 3 tempat yang tercetusnya tragedi di mana 3 buah perkampungan yang terletak di pinggir sungai dan pendalaman diserang Bintang 3. Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Bekor di Manong, Kampung Beng di Lenggong dan Kampung Belum ( khususnya Temenggor ) di Gerik. Bukan di tempat lain tak terjadi peristiwa kekejaman Bintang 3. Ada tetapi 2 kampung iaitu Bekor dan Beng pernah aku lawati manakala opah,emak dan bapa saudara  aku dari Temenggpr.



Proses pemindahan bermula pada 
24 Jun 1976. Pagi-pagi lagi, 3 buah 
Nuri telah berlepas dari No 10 Skn, 
TUDM Kuantan,menuju ke 
Ayer Ganda, Gerik, untuk misi 
'Ops Pindah'Misi diketuai oleh 
Lt (U) Azmi  Ibrahim dengan 
krewnya 
Sekolah Kebangsaan Temenggor
            Aku memfokuskan kisah yang terjadi ini di sekitar Temenggor kerana kisah dalam teater Temenggor ini melibatkan ahli keluargaku. Temenggor ini merupakan sebuah tempat yang terletak dalam daerah Gerik di Hulu Perak. Siapa tak kenal Gerik yang penuh pelbagai kisah menarik? Sekitar tahun 1970an dahulu, Gerik terkenal dengan sejarah hitamnya dengan aktiviti pengganas komunis. Kegiatan ketenteraan dan pembenterasan pengganas banyak berlaku di Gerik ketika itu.  Namun, Temenggor kini sudah tidak wujud lagi setelah kampung ini lenyap ditenggelami air dengan terbinanya Empangan Temenggor. Antara tujuan pembinaan Empangan Temenggor adalah untuk mengekang komunis. Daripada cerita yang aku dengar banyaj struktur yang tenggelam di dasar tasik itu, Antaranya sekolah, rumah masjid dan sebagainya. Ada beberapa keping gambar dalam simpananku pemberian seorang guru yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Temenggor. Kata guru tersebut sekitar tahun tahun 1975 dia -dihantar mengajar di situ dan membeli sebuah kamera menggunakan filem warna. Katanya inilah zaman peralihan penggunaan filem hitam putih ke filem warna.  
Antara guru yang pernah aku temui ialah Cikgu Lop yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Temenggor pada masa itu. Kesemua penduduk di kawasan tersebut dipindahkan ke dua kampung baru iaitu Kampung Ganda Temenggor disebut juga Air Ganda ( air itu bermaksud sungai ) dan Kampung Belum Baru di Gerik pada tahun 1976. Almarhum Sultan Idris II ( Sultan Perak Ke-33 )  telah merasmikan Kampung Ganda Temengor dalam bulan Ogos 1976. Ketika itu aku baru Darjah Lima.di Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris Gerik ( sekolah ini pun dah tak ada ).
Senapang " KULAI"
          Apa ceritanya di Temenggor tu? Dah lari ke tajuk lain pulak! Ceritanya, pada satu malam di Kampung Temenggor ( masa 14 hari Komunis ), komunis mempunyai rencana untuk menangkap orang-orang kampung yang mempunyai "kulai"  iaitu sejenis senapang patah. Kalau tak silap saya senjata ini dipanggil kulai kerana larasnya akan terkulai seleoas menembak untuk dimasukkan peluru baru. Hal ini kerana komunis bimbang orang-orang kampung akan menentang mereka apabila mereka bertindak kejam ke atas orang kampung. Macam mana komunis sudah duduk dalam hutan di Hulu Perak pada masa itu? Jangan pelik! Pada masa Jepun memerintah, sudah ada gerakan masa menentang Jepun seperti MPAJA ( PKM ) dan Pasukan Force 136 ciptaan Tentera British. Mereka bersembunyi di hutan Hulu Perak untuk mengelakkan diri daripada ditangkap pihak Jepun.            
Aminah Arshad
         Salah seorang yang mempunyai senjata api di kampung itu ialah Ariffin ( datuk aku yang tak pernah aku temui ). Untuk mengelirukan orang kampung, komunis memasang mercun di sebuah titi di kampung itu dan beberapa anggota komunis sudah menunggu di rumah orang kampung yang disyaki mempunyai senjata termasuk Ariffin. Apabila mendengar bunyi letupan yang disangka senapang kulai, Ariffin pun mencapai senjata apinya lalu turun ke halaman rumah manaka isteri dan dua orangnya menyorok di belakang pintu rumah mereka. 
          Seperti yang dijangka Ariffin ditangkap oleh komunis yang menunggu di bawah rumah. Komunis merampas senjata " kulai " dan membawa Ariffin pergi. Malam itu merupakan malam terakhir Aminah ( isteri Ariffin ) melihat wajah suami kesayangannya dan itulah kali terakhir Ahmad dan Zainah ( dua anak Ariffin ) melihat kelibat ayah mereka. Ahhhh sedihnya! Sejak hari itu tiada sesiapa lagi yang menemui Ariffin. Ariffin hilang entah ke mana dibawa komunis Bintang 3. Ayah alu pernah mencari Ariffin setelah dia berkahwin dengan Zainah, anak perempuan Ariffin. Kalau korang nak tahu, aku ini cucu Ariffin. Sebab itulah aku buat skrip ini sebagai tribut untuk Ariffin dan mangsa kekejaman komunis. Korang ingat ahli keluarga Ariffin tak marah ke kepada komunis! Wajar kah mereka marah kepada komunis! Itu pun nak ditaburnya abu mayat Si Ching Peng tu di Bajaran Titiwangsa! Ikut suka hati mak bapak tiri jer keluarga Cing Peng ni!! ) Yang dalam kurungan ini janya satu luahan saja. Sampai ke ini tidak tahu khabar Ariffin. Hidup ke mati? Mati sudah tentu, tetapi di mana kuburnya? Hidup? Hanya kuasa Tuhan menentukannya.
Ahmad Ariffin
        Apa terjadi dengan isteri dan dua orang anak Ariffin? Mereka bersembunyi di belakang daun pintu rumah dan dengan izin-Nya pengganas komunis yang menyerang tidak dapat melihat Aminah dan anak-anaknya. Selepas komunis berundur, Aminah membawa anaknya turun dari rumah yang dibakar oleh komunis dan berlari menyusuri pembetung buluh menuju ke semak-samun untuk bersembunyi. Apabila hari menjelang siang, komuhis pun sudah hilang dari pandangan, Aminah berkumpul bersama-sama orang kampung yang terselamat dalam kejadian itu. Sebenarnya, hasil siasatan orang kampung mendapati bukan sahaja Ariffin yang dibawa pergi malah ada beberapa orang kampung termasuk wanita juga dilarikan komunis. 

        Kekejaman pihak komunis ini dapat dibaca dalam catatan Pn. Tik Sulong, 86 . Aku petik cerita ini yang hampir sama kisah yang diceritakan oleh emak aku, Zainah Ariffin. “ Mak Cik tidak akan maafkan dosa anggota pasukan komunis ‘Bintang Tiga’ yang membunuh dengan kejam lima ahli keluarga mak cik sampai bila-bila,” kata warga emas, Tik Sulong, 86 sambil meriba potret ahli keluarganya.Sesekali Tik yang lebih mesra dengan panggilan ‘Mak Itam’ dikalangan penduduk Sungai Udang membetulkan kedudukanya di atas kerusi roda tanpa melepaskan bingkai potret yang diambil bersama ahli keluarga ketika beliau berusia 15 tahun. “Mereka (Komunis) bunuh ibu, Temun Manang dan empat lagi ahli keluarga mak cik tanpa rasa belas kesian walaupun berkali-kali arwah merayu agar tidak dibunuh dan wajah setiap pembunuh masih mak cik ingat hingga ke hari ini,” katanya sambil membacakan surah al-Fatihah untuk disedekahkan kepada arwah ahli keluarganya yang terbubuh pada kira-kira 6 pagi tanggal 10 Jun 1945. Lima keluarga Tik yang mati dibunuh komunis ialah ibunya, Temun Manang, adik lelaki berusia dua tahun dan dua orang anak saudaranya yang masih kecil dibunuh dengan kejam di hadapan mata manakala abang ipar mati hangus selepas komunis membakar rumah.
Mulai dari detik inilah kisah  mencari Ariffin menjadi mauduk utama teater 
TEMENGGOR “. Hasilnya mereka berjaya mementaslan karya aku yang aku jadikan catatan kisah keluarga aku. Taniah pelajar-pelajar USAS sesi ini. Aku berharap aku dapat menulis sesuatu lagii. Terima kasih pelajar-pelajar USAS. Semoga roh mereka yang mendahului kita sentiasa dirahmati-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.