Jambori? Terma yang lebih popular dalam kalangan ahli pengakap seluruh dunia. Saban tahun ahli pengakap berkira-kira untuk menyertai mana-mana jambori yang dianjurkan oleh mana-mana Persekutuan Pengakap di pelbagai peringkat. Bagi mereka yang pernah menyertai jambori, sudah pasti akan menyertainya sekali lagi pada masa akan datang. Apa kelebihannya? Hanya mereka yang menyertainya sahaja yang lebih memahami. Kita bukan tidur di hotel malahan tidur bertemankan alam sekitar yang boleh dipertikaikan keselesaannya. Kesukaran itu sememangnya sudah diduga dan itulah antara perkara yang dicari.
Kali ini, Jambori International Perak 2014 ( JIP 14 ) menjadi aktiviti penutup bagi kegiatan pengakap aku. Jambori ini satu nostalgia besar buatku. Hal ini kerana, jambori tersebut diadakan di Teluk Batik Lumut setelah sekian lama menyepi tanpa jambori.Jambori kali ini diadakan dari 24 November hingga 30 November 2014 di Pantai Teluk Batik, Lumut Perak. Kali terakhir jambori diadakan di sini pada tahun 1989 ketika usia remaja aku 24 tahun dan kali ini, 2014, diadakan ketika usiaku 49 tahun.
Jambori Pengakap Perak Tahun 1989. Nostalgia |
Seramai 467 petugas yang didaftarkan untuk membantu jambori kali ini. Jumlah ini dikira belum dapat menampung jumlah peserta seramai 6,483 orang dari seluruh negara. Pasukan petugas ini terdiri daripada anggota pangakap kelana ( KLKM ) dari Institut Pendidikan Guru, universiti dan politeknik tempatan. Rata-rata merupakan mahasiswa atau remaja yang sudah matang. Tugasan ini merupakan cabaran yang besar namum dapat ditangani dengan penuh komitmen dan sokongan rakan-rakan seperti Ahmad Zulmat, Asri, Amin, Shahrom dan Faezin ( adik Zul Huzaimy ). Kami sebenarnya berasal dari satu pasukan iaitu Kelana Ke-16 ( Terbuka ) Hulu Perak dan mula aktif berpengakap sejak 1977 lagi. Sesekali, aktiviti sebegini menguji kemampuan mental dan fizikal kami yang telah "makan tahun" berpengakap. saya selaku pengurus petugas yang memasang impian agar para petugas belajar sesuatu terutamanya dari segi pengurusan dan memantapkan pengetahuan pengurusan jambori. Selain itu, saya berharap agar para petugas menanam sikap kesukarelaan yang tinggi teruta-manya mereka yang terdiri da-ripada kalangan pelatih-pelatih daripada Institut Pendidikan Guru dan juga Institut Pengajian Tinggi kerana pengalaman ini penting untuk mereka pratikkan ketika berkhidmat di sekolah dan alam pekerjaan kelak. Selain itu, saya juga berharap para petugas menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi supaya Jambori Antarabangsa Perak 2014 berjalan dengan lancar dan jayanya. Berikut merupakan lagu rasmi jambori kali ini.
Setinggi-tinggi pujian harus dikalungkan buat Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak iaitu Tn.Hj. Azam Mahmud kerana telah berjaya melaksana jambori kali ini dengan cemerlang. Keseluruhan jambori berjalan lancar tanpa sebarang musibah yang menimba. Ternyata Tn. Hj. Azam mempunyai kekuatan bersama-sama pasukannya yang memberi impak besar dalam jambori ini. Begitu juga dengan Tn. Azizul, Tn. Khairul, Tn. Fadil, Tn Mahizam, Tn. Azlan dan selainnya yang merupakan sumber kekuatan jambori.
Logo Jambori Antarabangsa Perak 2014. |
Lagu Rasmi Jambori Antarabangsa Perak 2014
“Apresiasi Budaya dan Pelancongan”
Selamat datang anda semua
Ke Jambori Antarabangsa Pengakap Negeri
Pe-rak
Di Teluk Batik kita berjumpa
Semaikan persaudaraan sesama kita
Mari jayakan dan apresiasi
Budaya dan pelancongan warisan bersama
Jom ke Jambori, Jom ke Jambori!
Pengalaman berharga jadikan kenangan
Jom ke Jambori, Jom ke Jambori!
Sematkan diingatan Jambori Pengakap
Perak
(Ulang *)
Sematkan diingatan Jambori…
Pengakap Perak!
Komposer: Zaharah Abd
Manaf
Lirik: Ahmad Azam Shah
Gubahan: Ismail Ahmad Nawab
MALAM GILLWELL
Majlis Pengkalungan Manikayu 2 Beat Pengakap Kelana oleh Dato' Paduka Haji Mohd Syukur Mohsin,, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara. |
Malam Gillwell telah diadakan pada jam 9.00 malam di Dewan Pahlawan, Teluk Batik Recreational Resort. Tujuan Malam Gillwell ini adalah untuk penganugerahan dan pengkalungan Manik Kayu 4, 3 dan 2 biji kepada para penerima yang telah lulus. Perkara yang menarik sekali ialah aku dikalungkan Manik Kayu keduaku. Kali pertama aku dikalungkan Manikayu Pengakap Kanak-Kanak dan kali ini Manikayu Pengakap Kelana. Satu pencapaian yang perlu direnung kembali setelah sekian lama berpengakap. Seramai 107 orang penerima layak menerima anugerah tersebut. Salah seorang penerima Manik Kayu 2 ialah YB Dato’ Drs. Mohd Nizar Zakaria (ADUN Tanjung Belanja, Bota). Acara bermula selepas ketibaan tetamu jemputan iaitu Dato’ Paduka Hj Mohd Syukur b Mohsin. Majlis pada malam itu dimulakan dengan bacaan doa diikuti majlis Istiadat Penganugerahan Manik Kayu oleh Dato’ Paduka Haji Mohd Syukur Mohsin selaku Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara.
ZUL HUZAIMY
Bersama-sama aktor Zulhuzaimi Marzuki dan sukarelawan TATI, Dungun. |
AMIR BAKI
Allahyarham Amir Baki semasa bertugas di Anugerah Rambu Pengakap 2013 di Kem Desa Rimba, Sauk, Kuala Kangsar, Perak. |
Satu-satunya nama yang mengukir seribu kenangan buat semua ahli pengakap terutamanya di negeri Perak. Beliau merupakan salah seorang Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak yang aktif dan kalau tidak silap saya memegang jawatan Setiausaha Program. Berperwatakan riang, aktif dan penuh dengan nilai lelucun yang menghiburkan. Beliau merupakan antara peran utama yang menjayakan Jambori Antarabangsa Pengakap Perak namun tidak dapat melihat sendiri kejayaan jambori kali ini kerana terlebih dahulu dijemput-Nya. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.