Monday, December 10, 2012
SUKU KAUM BATEK, SUNGAI KENIYAM, KUALA TAHAN, PAHANG
KUALA SUNGAI KENIYAM
7 Disember 2012 - Sungai Keniyam, Kuala Tahan, Pahang.
Taman Negara yang ditaburi hutan hujan khatulistiwa menerima kunjungan pegawai LINUS dan Unit Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar. Mereka tidak bersendirian kerana ditemani oleh penghuni Taman Negara iaitu masyarakat orang asli daripada suku kaum Batek. Kami ke sana untuk melakukan kajian dan lawatan penanda aras di daerah Jerantut, Pahang. Kami juga akan meninjau kekuatan dan kelemahan program "JOM KE SEKOLAH" yang dijalankan oleh Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi.
PEMANDANGAN PAGI DI TEBING SUNGAI TEMBELING
Hal ini bertujuan untuk mengatasi kadar kehadiran yang rendah dalam kalangan masyarakat suku kaum Batek di Sungai Keniyam. Diberitakan bahawa program membawa mereka ke sekolah hanya bertahan selama dua hari sahaja. Hal ini disebabkan banyak faktor menolak yang perlukan penelitian khas semua pihak terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia. Tahniah kepada PPD Jerantut kerana menjalankan usaha murni membawa mereka ke sekolah. Terima kasih kepada Guru Besar SK Kampung Pagi, Cikgu Jamal yang banyak membantu kami dan juga masyarakat di sana.
Orang-orang seperti mereka memainkan peranan bukannya sedikit dalam merealisasikan tranformasi dalam kalangan masyarakat orang asli Batek. Saya juga berharap agar guru-guru di SK Kampung Pagi mengekalkan usaha mereka dengan penuh komitmen dan ikhlas. Mereka memerlukan sokongan dari segi material dan moral. Selain itu, saya juga ingin mengetahui dengan lebih mendalam bahasa yang digunakan oleh suku kaum Batek dan penguasaan mereka dalam Bahasa Melayu.
Sungai Keniyam terletak kira-kira 45 minit perjalanan menaiki bot dari Kampung Pagi, Kuala Tahan. Untuk ke sana, kami perlu memohon permit masuk dengan bayaran RM1 kepada pihak berkuasa taman negara. Jika hendak memancing perlu ada permit khas dengan bayaran RM 10. Namun untuk ke Sungai Keniyam memerlukan alasan yang kukuh memandangkan kawasan tersebut dalam kawasan Taman Negara Pahang.Kuala Sungai Keniyam yang bertemu dengan Sungai Tembeling mempunyai air yang jernih, adakalanya berwarna hitam pada dasar yang dalam. Sungai Tembeling juga agak jernih tapi masih berwarna teh tarik kurang pekat. Mungkin belum masa tengkujuh. Sepanjang hari kami di sana, hujan turun hanya pada sebelah petang membawa ke malam.
Ternyata pemandangan di sekitar Sungai Keniyam lebih segar dan asli. Airnya jernih sehinggakan kelihatan batu-batu di dasar sungai, pasir dan anak-anak ikan yang pantas berenang di celah bangkar dan reba. Di tebing sungai, daun-daun dan ranting pokok-pokok besar menutupi ruang langit yang mewujudkan kanopi semulajadi. Air yang mengalir deras akan melalui kawasan cegar yang berbatu-batu dan kembali perlahan di kawasan lubuk-lubuk kecil yang kelihatan kehitaman. Sukar mencari sungai yang mempunyai ciri-ciri keaslian sebengini terutamanya di kawasan bandar.
Pemanduan bot muatan empat orang ( jumlah yang ditetapkan oleh pihak taman negara )melalui sungai kecil tidak begitu laju. Pemandu bot memerlukan pembantu untuk merentasi jeram- jeram kecil dan cegar kerana dibimbangi bot akan terlanggar batu atau batang kayu balak yang tumbang. Walaupun sebahagian pemandu bot tersebut muda-muda belaka namun mereka sangat mahir mengendalikan bot tersebut. Kebanyakkan mereka terdiri dari orang Melayu sekitar Sungai Tembeling. Pekerjaan ini merupakan satu daripada punca rezeki masyarakat di sini yang terlibat secara langsung dalam bidang pelancongan. Dalam kalangan mereka ada seorang pemandu bot dari suku kaum Batek tetapi bukan berasal dari kampung tersebut. Dia mungkin berasal dari kampung sekitar Sungai Tembeling kerana dia jelas ramah dan pandai bergaul dengan orang lain. Di kampung ini terdapat sebuah bot gentian kaca yang kecil dipandu oleh salah seorang penduduk kampung. Wah, pemandu bot ini lebih hebat. Dia memandu bot ke hulu semasa kami datang macam merempit saja. Mencanak hujung bot tersebut meredah liku-liku Sungai Keniyam. Siap macam " willie" je. Betul ke ejaan tu?
Perkara yang menarik ialah kita akan bertemu dengan masyarakat orang asli dari suku kaum Batek yang tinggal di tebing sungai ini. Sebenarnya, suku kaum Batek tinggal disepanjang Sungai Tembeling dan sungai-sungai lain sekitar Taman Negara Kuala Tahan.Cuma di Keniyam ini agak jauh sikit. Kalau tak kerana ada program yang hendak dijalankan, susah juga hendak ke sini.Sewaktu kami sampai, tiada sambutan dari penduduk kampung.
Setengah jam pertama tak ada yang nak tanya apa-apa. Macam tak diundang saja. Saya tidak berasa begitu. Hal ini kerana mereka sentiasa berhati-hati menerima orang luar. Mungkin bimbang akan ancaman, mungkin rasa rendah diri atau malu. Tapi belum kenal belum tahu. Sampai di kawasan kampung, hanya kelihatan kaum lelaki dewasa sahaja yang mundar-mandir. Sebenarnya sikap mereka yang mundar-mandir ini bertujuan ingin meninjau keadaan dengan rasa ingin tahu siapa yang hadir. Kalau pejabat kesihatan atau doktor, sudah tentu mereka tidak akan menampakkan diri. Tak nampak langsung kaum wanita. Tapi, saya nih macam biasalah, ada pengalaman dengan kaum Semai di Pos Betau, Kuala Lipis.
HASHIM, PEMUDA SUNGAI KENIYAM, KUALA TAHAN.
Antara cara untuk berkomunikasi dengan cepat adalah dengan menggunakan rokok. Hisap rokok memang tak bagus tapi bak kata kengkawan, rokok boleh menjalinkan hubungan dengan cepat. Saya minta rokok daripada seorang rakan ( Shukri Md Ani). "Rokok Dunhill bang!!! Habis nanti! Mahal tu!" Jerit Shukri. Nak berjaya korban sikit bro. Saya terus menuju ke arah seorang pemuda Batek yang bernama Hashim. Fuhh...nama! Sedap sebutan "Shim" nya. Senang saja. Kita tawarkan rokok dan nyalakan rokok itu sebagai tanda hormat, maka dapatlah kita berbual-bual dengan mereka. Hashim ini mukanya selamba saja. Pakaian boleh tahan kemas. Saya lihat rata-rata pemuda di sini sudah pandai bergaya. Berseluar semuanya. Dia hisap rokok pun slow. Sedut dalam-dalam, relax habis. Senyum tidak juga tapi masin ada respon. Tanya sepatah jawab sepatah. Mungkin belum yakin lagi agaknya. Rugi! Rugi! Lepas itu cari pulak yang tua sikit ( Usop ).
Usop ini mudah sikit. Nampak macam bersedia hendak ditanya. Kena sebatang, laju saja ceritanya. Soalan yang nak ditanya senang saja; Pertama, tanya nama, lepas itu tanya rumah batin ( malok dek batin - guna bahasa Semai sebab dia boleh berbahasa semai ). Soalan ketiga: apa sebutan rokok dalam bahasa Batek. Dengan Usop senang saja, tanya berapa cucu? berapa anak? Berapa bini jangan tanya!Usop mudah tersenyum dan peramah berbanding Hashim. Dia ada pengalaman bergaul dengan kaum Semai sebab itu dia boleh cakap semai dengan saya. Sayapun bukan pandai juga, "shikit-shikit" jeh. Makan itu apa dalam bahasa Batek? Chibab katanya. Sebenarnya bertanya tentang bahasa agak mudah juga untuk berbual-bual. Mereka sebenarnya bijak juga berbanding dengan kita. Mereka boleh berbahasa Melayu dengan baik tapi kita langsung tak tahu bahasa Batek. Siapa pandai? Saja nak usik jer.
( USOP, KETUA TAK RASMI, SUKU KAUM BATEK, SUNGAI KENIYAM, KUALA TAHAN, PAHANG )
Begitulah caranya hendak memulakan komunikasi dengan cepat. Apabila sudah ada kepercayaan dan mengesahkan kami bukan dari pejabat kesihatan, maka mudahlah kerja kami. Dalam pada itu, lalu seorang ibu muda yang kelihatan amat letih dan lesu. Dia mengelek kain yang didalamnya ada anaknya yang baru dilahirkan. Tidak berbedung. Kaki bayi itu terjulur keluar sebab kain itu kecil agaknya. Tak sempat saya nak rakamkan gambarnya. Usop kata dia baru tiga hari bersalin. Dah berjalan dah. Dia diberi minum air daun meroyan dan bertungku dengan batu sungai yang didiangkan ( panaskan tepi unggun api ). Mereka mampu "survive" dalam keadaan sebegitu dengan cara mereka sendiri. Nampaknya perubatan tradisional masih diperlukan dalam kalangan masyarakat yang tinggal di tebing Sungai Keniyam atau Sungai Tembeling. Memang susah nak lihat kelibat kaum wanita lebih-lebih lagi anak dara suku kaum Batek. Kalau sekali fikir macam teruk sangat mereka bersembunyi dalam rumah mereka. Ini persepsi yang salah. Setelah beberapa lama berbual dengan kaum lelaki, muncullah anak dara mereka yang unik-unik itu. Fuhh... sudah pandai bergaya. Mereka berpakaian lengkap, bergincu dan berkemas diri. Mereka memang minat untuk bergaya cuma kurang mampu dan tiada peluang. Kalau kita pandai bersembang, mereka juga mudah memberi respon. Paling kurang mesti dengan senyuman. Yang menariknya mereka boleh berbahasa Melayu.
Antara perkataan yang saya dengan dari mulut mereka ialah "sikat". Yang menghairankan tetapi tak pelik kepada saya ialah salah seorang di antara mereka bergincu. Merah bibirnya. Mana dapat gamaknya? Mungkin dibeli di Kuala Tahan atau Kampung Bantal. Ada Pekan Sehari di sana. Kebanyakan rumah ( lebih sesuai dipanggil pondok atau dangau dibuat daripada sumber asli seperti tiang batang kayu bulat empat hingga enam batang, atap daun salak atau bertam, dinding batang bertan dan lantai buluh. Pondok ini hanya boleh bertahan sekitar setahun atau setahun setengah sahaja. Pondok ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ruangan bilik ( satu sahaja ), berenda terbuka berlantai buluh dan bahagian depan tanpa lantai ( atas tanah sahaja ). Bahagian itu terletak unggun api mungkin untuk berdiang bagi memanaskan badan, menghalau binatang buas atau nyamuk. Menurut Cikgu Jamal ( Guru Besar SK Kampung Pagi ) mereka yang berada di pedalaman lebih "simple" lagi iaitu menggunakan pondok pisang sesikat. Hal ini kerana mereka lebih kerap berpindah-randah. Oleh itu, mereka tidak memerlukan rumah yang teguh dan besar. Cukup untuk menampung keluarga kecil dalam jangka masa yang singkat. Berbalik kepada tujuan asalprogram ini iaitu ingin menarik minat kanak=kanak ke sekolah, FasiLINUS PPD Kuala Kangsar sedia memainkan peranan. Yang lelaki, Hairolzaman dan Abd rauf sibuk dengan kerja-kerja dokumentasi mereka. Yang perempuannya, Esah, Yusnita dan Linda tak kurang hebatnya. Terjegil juga mata ibu bapa kanak-kanak suku kaum Batek melihat mereka. "Make up" tentu sekali. Usoppun tersengeh menengok gelagat mereka. Siap uniform FasiLINUS PPD Kuala Kangsar warna oren belang hitam ( bukan belang rimau ). Mereka mengagihkan buku dan pensel warna sambil mencari kanak-kanak di sana untuk melakukan tugasan yang dusediakan. Daripada pemerhatian saya, walaupun mereka agal pemalu tetapi emreka memberi respon untuk belajar.
Dari segi IQ mereka juga tidak ketinggalan jika dilihat cara mereka meneruskan kemandirian hidup. Mungkin bahasa menjadi penghalang untuk berkomunikasi. Kalau saya nak menjayakan kempen " JOM KE SEKOLAH" beberapa cadangan perlu duberi perhatian. Pertama, oleh kerana mereka tidak dapat datang ke sekolah, kita yang datang ke tempat mereka. Mereka agar sukar ke sekolah kerana masalah pengangkutan, perbelanjaan, kesediaan mental dan persekitaran yang berbeza. Kedua, masa belajar perlu disingkatkan pada peringkat permulaan. Dua jam cukup kerana tempoh yang lama akan membebankan pemikiran mereka dan tugas guru. Cikgupun boleh kering ide ooooo. Ketiga, disebabkan masalah bahasa kita ajar subjek yang tidak menilai kemahiran berbahasa tetapi menerap budaya belajar. Subjek yang sesuai mungkin Seni Muzik, Seni Visual, Seni Lukis dan Kraftangan. Yang penting mereka memahami budaya berkumpul, mendengar arahan dan melakukan tugasan. Jika hendak mengajar matematik pun biarlah dimulakan dengan kemahiran asas tambah dan tolak. Lita boleh menggunakan pendekatan pedagogi pribumi. Kenapa bahasa tidak diberi perhatian? Fikirkan... matematik tu, kita nak ajar bahasa ke konsep? Jika nak belajar konsep, bahasa apa pun tak mengapa asalkan dia boleh faham konsep tersebut. Belajar memasak pun tak mengapa asalkan dia biasa dengan budata berguru. Keempat belajo saja kalau perut lapo, tak guna. Buat macam pra sekolah, makanan disediakan. Kelima, yang paling penting ialah gurunya. Siapa yang nak berkorban harta dan nyawa untuk mengajar di sana dengan masyarakat di sana? Oleh itu, kita cari guru yang mempunyai inisiatif yang tinggi, sediakan bot, pemandu bot, penyedia makanan, pondok macam sekolah, ABM yang ringkas, masa mengajar 2 jam sehari ada elain lagi. Apa? Ngada-ngada? Bukan ngada-ngada tapi bukan senang nak cari guru yang sanggup. Bukan tak ada, ada guru yang berkebolehan tapi mesti kena gaya. Menang sama memang, okaylah! Kerja susah tu.. pulak tu tak ada kemudahan dan fleksibeliti. Kalau tak sanggup sediakan semua itu... buah betik, buah mempelam. Kirim salam nak berjaya. Mesti ada motivasi apabila menghadapi sesuatu kesukaran. Kalau hantar guru yang tak ada minat, keistimewaan pun tak mandang ( kata orang Perak ) leboh le... Ini perlukan projek NKRA.
Subscribe to:
Posts (Atom)