Aku mula sedar tentang sejarah kecilku yang merupakan sebahagian daripada sejarah negara kita mahupun dunia semasa berusia 10 tahun. Sewaktu aku mencari daun pegaga untuk dibuat ulam di sekitar Pecah Batu, Lawin, Gerik sekitar tahun 1975, aku diceritakan sebuah kisah oleh nenek aku ( Opah Aminah Arshad atau dikenali sebagai Pah Lawin) tentang 14 hari Komunis memerintah. Menurut beliau, sebaik sahaja Jepun menyerah diri pada tahun 1945, pihak komunis telah membuat huru- hara di Kampung Temenggor, Hulu Perak. Sewaktu itu nenek aku masih kecil, mungkin belum berumur sepuluh tahun. Beliau bersama suaminya bernama Ariffin mempunyai sepasang anak iaitu bapa saudara aku yang bernama Ahmad dan ibuku, Zainah. Keluarga ini tinggal di Kampung Temenggor. Pada masa itu Empangan Temenggor belum dibina.Pada suatu malam, sekitar tahun 1945 ( 14 hari komunis bermaharajalela) kampung tersebut dikejutkan dengan beberapa siri letupan seakan-akan bunyi tembakan senjata api di sebuah jambatan kecil. Seisi keluarga terkejut. Tiba-tiba terdengar suara orang memanggil datuk aku turun ke bawah rumah. Datuk aku segera mencapai senapang kulai ( senapang patah ) dan menguak daun pintu. Belum sempat datuk aku berbuat apa-apa beberapa orang, barangkali komunis, telah menangkap datuk aku. Beberapa orang yang lain segera melempar obor api ke dalam rumah. Api marak dengan cepat kerana rumah pada masa itu dibuat berdindingkan batang pokok bertam dan atap berdaun nipah.Kata Pak Long Mat ( Air Ganda, Grik ), cucur atap terbakar. Pak Long Mat ialah bapa saudara aku iaitu abang emak aku. Baru-baru ini ( 20 Oktober 2012 ) aku pergi ke Air Ganda, Grik kerana beliau jatuh sakit tetapi telah pulih semula. Sambung cerita semula. Kebetulan nenek aku serta dua orang anaknya bersembunyi di belakang daun pintu dan orang-orang yang menangkap datukku tidak menggeledah rumah tersebut. Mereka berlalu dalam keadaan tergopoh-gapah. Dalam keadaan kelam kabut bercampur cemas dan takut, nenek aku segera memegang kedua-dua anaknya, melompat ke bawah rumah kemudian lari ke arah sungai meniti buluh tiga batang yang terbakar. Aku sudah lupa nama benda ini. Mereka bersembunyi di sebalik banir kayu ( pangkal pokok besar ) dalam semak samun di sekitar tepi hutan sehingga dipanggil orang. Bermula dari sini nenek aku memulakan perjalanan untuk survivalnya ke Kampung Kenayat, Gerik dan Bukit Puteri, Lenggong dan berkampung di sana. Apa yang berlaku kepada datuk aku? Menurut ceritanya lagi, datuk aku dilarikan ke hutan oleh komunis. Bukan dia seorang tetapi ramai yang dilarikan. Sejak itu datuk aku tidak pulang-pulang sehinggalah nenek aku meninggal dunia pada tahun 1987.
Antara kisah lain yang sewaktu dengan kisah ini ialah kisah Cikgu Lijah. Dikhabarkan oleh Pak Long Mat anak Cikgu Lijah yang masih kecil dilambung oleh komunis ke udara lalu ditikam dengan benet.Walaupum semuanya telah berlalu namun kisah-kisah zaman komunis masih terpahat erat di fikiran aku. Ayah aku juga telah berusaha untuk mencari datuk aku, namun semuanya hampa.Begitulah sebahagian sejarah yang terjadi pada zaman komunis seperti yang berlaku di beberapa daerah lain di Kampung Belum ( Grik), Kampung Beng ( Lenggong ), Kampung Bekor ( Kuala Kangsar ) dan kampung-kampung yang lain. Secara strategiknya kampung-kampung ini terletak di tebing Sungai Perak.Apabila aku dewasa, sejak di tingkatan enam ( 83/84) aku banyak membaca buku-buku yang berkaitan dengan sejarah sekitar tahun-tahun 1940an sehingga merdeka. Kisah-kisah ini mungkin menjadi sejarah namun sejarah dipelajari untuk kita terus memacu kehidupan pada masa depan. ( Bersambung...)
Sewaktu bertemu dengan Pak Long mat ( Ahmad bin Ariffin, No. 26 Kampung Air Ganda Temenggor ), aku minta beliau ceritakan kisah itu semula. Nampaknya ingatannya masih kuat walaupun kadang-kadang sedikit gagap. Apabila Empangan Temengor dibina penduduk kampung di Temenggor dan Kampung Belum dipindahkan ke kampung Air Ganda dan sebahagian lagi di Kampung Belum Baru, Kenering. Sebuah sekolah di Temenggor iaitu Kebangsaan Temenggor ditutup dan ditenggelami air pada tahun 1975. Hilanglah sebuah sekolah kebangsaan. Kisah ini mungkin akan lenyap jika tidak dibongkar kembali untuk tatapan anak cucu.
Hari ini, ( 27 September 2014 ) aku kembali membuka ruang untuk tajuk ini. Sudah lama benar tidak menulis tentang Kampung Temenggor. Kali ini, ada sedikit penambahbaikan yang boleh kita kongsi bersama tentang cerita ini. Pertama sekali, kisah tentang sekolah Kebangsaan Temenggor yang telah lenyap di dasar tasik. Sebenarnya aku ada menyimpan beberapa keping gambar yang berkaitan dengan Sekolah Kebangsaan Temenggor.
Gambar ini aku peroleh daripada salah seorang guru yang pernah mengajar di sekolah tersebut. Sayang sekali aku sudah lupa namanya. Waktu itu kami bertemu dalam sebuah mesyuarat di Jabatan Pendidikan Perak. Sambil berbual-bual sebelum mesyuarat bermula, aku dapat tahu bahawa beliau pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Temenggor. Penempatan pertama beliau sebagai guru. Beliau membawa sebuah kamera hitam putih dan pada tahun 1975 filem warna mula digunakan. Sekolah terakhir beliau mengajar ialah di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Ghazali Jawi di Air Panas, Gerik. Besar sungguh jasa beliau yang merakamkan peristiwa ketika itu walaupun beliau tidak dapat menulis sesuatu tentangnya. Oleh itu terdapat gambar hitam putih dan gambar warna yang pertama di Kampung Temenggor ketika itu. Jangan lupa! Ini merupakan sejarah besar. Pada tahun 1975 Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah 75 diadakan di sekolah tersebut dan sekeping gambar telah terakam penuh nostalgia.
Kenapa saya kata sejarah besar? Hal ini kerana pada tahun hadapan, 2015 genaplah hampir 40 tahun sekolah dan majlis itu diadakan. Pada tahun 1976, majlis tersebut kekal di dasar tasik. Terdapat gambar suasana yang tiada perbezaannya dengan suasana persekolahan di tempat-tempat lain di negara kita. Terutamanya di kawasan pendalaman. Gambar bangunan Sekolah Kebangsaan Temenggor memang gah pada masa itu dan kini tiada lagi bangunan seumpana itu dapat dilihat. Jika adapun, sukar ditemui.
Ada beberapa orang yang saya kenali berdasarkan beberapa keping gambar yang saya peroleh. Teritamanya gambar Cikgu Lope iaitu guru besar sekolah tersebut pada masa itu.
Cikgu Lope antara guru besar yang tersohor di Hulu Perak. Mengikut maklumat yang saya peroleh, cikgu Lope juga menyimpan koleksi gambar di Temenggor. Namun, beliau telah meninggalkan kita. Cikgu Lope juga tinggal di rumah No. 1, Kampung Air Ganda, Gerik. Mungkin beliau juga akan tersenyum seandainya beliau membaca blog ini kerana hasil usahanya berjaya menjadi tatapan anak bangsa pada masa hadapan. Guru sekarang perlu belajar sesuatu daripada beliau terutama tentang kegigihan seorang yang bernama guru. Selain itu, kalau tidak silap saya ada juga gambar saudara aku sendiri yang dipanggil " Peyoh" anak Pak Long Nan. Kalau tak silap lagi namanya sebenarnya Firdaus bin Adnan.
Wednesday, October 24, 2012
Tuesday, October 9, 2012
BUAH LEMBA KELAPA PUYUH
Ya Rabbi... Rupa-rupanya tahun 2012 ni aku tak menulis apa-apa. ( Setakat 9 Okt 2012 ). Entahlah! Tubuh ini sudah tua benar berbanding usia. Itulah yang dinamakan dimamah usia. Mata melihat suasana yang kelabu, rambut sudah turun ke dagu, kelopak mata mula layu. Jangan dikesali dengan perkara yang dihadapi, tapi sedari perkara yang terjadi. Sudahlah, tu! Jangan merepek lagi.
Kali ini cerita buah lemba kelapa puyuh. Ada orang panggil pokok kelapa puyuh tapi buahnya buah lemba. Tapi ada juga orang panggil pokok lemba. Rupanya macam pokok pinang yang baru tumbuh. Kira-kira tingginya 2 kaki dari aras bumi.
Buahnya macam punjut mercun pop dalam satu gugus. Isi buahnya kalau sudah masak ada biji-biji hitam macam biji sawi dan berlendir. Bunganya kuning. Buah ini kalau dikunyah, lepas itu minum air kosong rasa manis. Zaman aku jadi bebudak pengakap dulu, aku dah kenal buah ini. Sesuai untuk dijadikan sumber makanan survival. Tidak perlu beli gula kalau nak masuk hutan. Rasa manis percuma. Emmm... cerita biasa saja.
Minggu lepas, 5 Oktober 2012, aku bawa semua anak-anak aku ke Cameron Highland. cadangan hendak berehat sehari saja. Anak-anak tetap ikut walaupun selalu sangat ke sini. Hendak balik kampung isteri, sekarang lalu kat sini. Bosan agaknya tengok pekan Brincang yang sesak barat jika hujung minggu sebab pasar malam, aku cadang nak merayap je dalam hutan. Yang tak masuk hutan, tunggu saja di Jabatan Hutan C.Hingland. Aku bawa anak-anak No.2( 17 tahun ),No.5 ( 6 Tahun ) dan No.6 ( 5 tahun ). Hendak buat koje giler ler tu. Bawak bebudak kecik masuk hutan. Jalan dalam hutan yang dah terang kuranglah susahnya. tapi hutan tetap hutan. Hijau dan punyai aroma yang tersendiri. Bening. Dalam hutan ini lah jumpa dengan kelapa puyuh. Sebenarnya musim hujan sekitar November hingga Januari, pokok kelapa puyuh kurang berbuah. Musim kering mungkin banyak.
Selain itu, kami juga jumpa dengan pokok periuk kera di sempadan Perak / Pahang. Tidak ada kera pun. Aku tak tahu macam mana nak kaitkan pokok ini dengan kera. Pokok ini memerangkap air dan serangga kecil. Ada orang di Kampung Rambai Tujuh menggunakan periuk kera untuk tanak pulut musim raya.
Tapi periuk kera yang mereka gunakan jenis yang pendek dam dompok. Yang aku temui ini, panjang sikit. Orkid pun ada juga, tapi yang asli. Cantik juga. Kalau di kawasan ini tangkainya panjang sedikit, bunga warna ungu. Biasa jer. Yang tak biasanya kena kerabat bukit kalau nak tengok. Syok juga! Duduk mengadap gunung-ganang sambil pipi diulit bayu sejuk pergunungan.
Subscribe to:
Posts (Atom)