Thursday, October 28, 2010

Dia Ibuku

26 Oktober 2010 - Banding Lakeside Inn ( Hotel & Resort )
Jam 1024 pagi:
Aku menyiapkan sebuah sajak yang bertajuk "Bicara Roh Temulang".

Jam 4.30 petang:
Aku mencetak sajak tersebut untuk Zulkarnain Abd Hamid. Kebetulan kami duduk sebilik sebagai urusetia Kursus Peningkatan Profesional B.Inggeris Guru Prasekolah LMS dan Kerian. Kami berdua saja lelaki. Zul membacanya dan memberikan komen yang positif sebelum membaca satu lagi hasilanku " Andainya Aku Mati Esok". Selesai sahaja membaca kami melihat gambar ibu masing-masing.Zul menatap gambar keluarga hari raya Aidulfitri 2010 dan memberi komen tentang kesihatan ibunya. Kebetulan ibunya memang sakit. Aku menjawab soalan Zul tentang perasaan aku apabila kehilangan ibu. Apatah lagi ibuku dikebumikan sehari sebelum menyambut Aidulfitri 2009. Rasanya jiwa kosong tanpa ibu.

Jam 5.00 petang:
Kami berbual-bual dengan beberapa orang Jurulatih Prasekolah tentang kematian yang tiada masa lebih atau kurang.

Jam 6.15 petang:
Kami berjalan-jalan di sekitar Kem Seri Banding ( 304 ) Regimen Sempadan dan Belum Rainforest. Kami kemudian langsung ke Jeti Banding. Aku memesan secawan teh tarik dan kopi panas dengan hajat untuk mernikmati panorama Tasik Banding.

Jam 6.30 petang:
Baru saja disiapkan kedua-dua pesanan itu, Zul meminta pesanan itu dibatalkan. Dia menerima panggilan yang ibunya sudah tiada. Aku terkedu melihat kesedihan Zul.
27 Oktober 2010

Jam 12.45 tengahari:
Aku berada di Tanah Perkuburan Parit Buntar melihat pusara tanda ibu yang telah pergi. Sesungguhnya "dia" juga ibuku.